KUALA LUMPUR – PAS tidak berniat untuk menjadi ‘pesaing’ dengan rakan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) malah setiap keputusan dibuat secara bersama, sekali gus menolak cakap-cakap politik bahawa parti Islam itu sepatutnya mendominasi PN memandangkan ia menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri lalu.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak menjadi dominan dalam PN bukan masalah besar kerana kesepakatan untuk bekerja sebagai satu pasukan menjadi keutamaan.
“Itu mungkin (nampak Bersatu lebih dominasi kepimpinan PN) kerana faktor pengerusi adalah dari Bersatu, mungkin ada yang lihat itu.
“Tapi dari segi agihan kerusi, perundingan kita bertanggungjawab, perkara itu diamanah kepada kita mungkin kerana faktor PAS dah lama (berpengalaman),” katanya kepada Scoop.
Pada PRN 12 Ogos lalu, PAS menang bergaya dengan memperoleh 117 kerusi sementara Bersatu (28 kerusi) dan Gerakan (satu) daripada keseluruhan kerusi yang ditandingi oleh PN. Ia sekali gus menyebabkan timbul gesaan bahawa parti itu sepatutnya memegang jawatan tertinggi dalam PN.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, dalam PN peranan PAS masih tetap dilihat penting termasuk diberi tugas menerajui pilihan raya
“Kita lihat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, jadi saya rasa bagi PAS kita bersedia apa saja tanggungjawab diberi,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan PAS juga tetap terbuka kepada cadangan penyatuan ummah menerusi gagasan Muafakat Nasional.
“Saya lihat dalam konteks rangka lebih besar gabungan ini mesti diperkukuhkan dengan kekuatan dan penyatuan ummah, PAS masih terbuka untuk gagasan penyatuan ummah itu, demi masa depan negara kita,” katanya.
Sementara itu bekas exco Pemuda UMNO yang baharu menyertai PN, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin, berpandangan kepimpinan Bersatu tetap layak menerajui PN.
“Saya rasa ini bukan isu besar kerana perkara ini telah dipersetujui oleh kedua-dua parti besar dalam PN. Begitu juga Pakatan Harapan. Walaupun DAP memenangi banyak kerusi di beberapa negeri, tetapi BN dan PKR yang menguasai dan memimpin gabungan itu.
“Tidak timbul isu siapa menang banyak, siapa menang sedikit, yang penting persefahaman, kerjasama dan persetujuan antara parti dalam gabungan itu,” katanya.
Terdahulu, Scoop melaporkan wajah sebenar PAS mula kelihatan menerusi layanan ke atas rakan dalam PN di Pulau Pinang.
Dan penilaian ini tidak lain, datangnya daripada pemimpin kanan PN.
Ahli jawatankuasa pusat PN yang tidak mahu didedahkan itu memberitahu Scoop bahawa kejadian di mana Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dihalau dari ceramah PAS di Sungai Dua telah menunjukkan bagaimana PAS melayan rakan gabungannya serta rancangan untuk mengambil alih Pulau Pinang. – 21 Ogos, 2023