PUTRAJAYA – Perkara patriotik seperti berkaitan logo dan tema Hari Kebangsaan tidak harus dipolitikkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari bahawa empat negeri di bawah pentadbiran gabungan itu, mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza di peringkat negeri.
Malah, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan dibuat pemimpin itu bersifat jumud.
“Ini bukan soal politik, ini soal bendera perayaan (Hari Kebangsaan) dan saya fikir jangan politikkan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 2023 di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Fadhli berkata, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN, berkemungkinan menggunakan logo serta tema alternatif dilancarkan Pemuda PN semalam, iaitu ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ dan logo dengan elemen bunga raya. Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 ialah ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi. – BERNAMA, 20 Ogos 2023