Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan: Fahmi | Scoop

Hari Kebangsaan sambutan negara, tidak patut ada perbezaan: Fahmi

Fahmi berkata perbezaan akan mewujudkan satu suasana yang kurang bersatu padu

8:18 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Hari Kebangsaan adalah sambutan peringkat negara dan tidak sepatutnya ada perbezaan untuk meraikannya di peringkat negeri.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk memperingatinya di peringkat negeri, Fahmi berkata perbezaan akan mewujudkan satu suasana yang kurang bersatu padu.

“Saya minta perkara ini diteliti dan kita ingin bersatu padu…masa untuk berpolitik telah tamat dengan selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya kepada media selepas melancarkan kempen Astro #DemiNegaraku dan Home of Kids, di sini hari ini.

Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN hari ini, iaitu ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Fahmi sebelum ini mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Menurut Fahmi rakyat Malaysia kini seharusnya mengibarkan Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan sebagaimana semangat mengangkat bendera parti politik masing-masing ketika berlangsungnya kempen Pilihan Raya Negeri, pada 12 Ogos lepas.

“Sekarang kita fokus membangunkan Malaysia, bersatu padu dan agenda lain diketepikan sementara. Tunggu empat tahun lagi,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia bukan sahaja untuk mengibarkan Jalur Gemilang secara fizikal tetapi menukar avatar kepada Jalur Gemilang di aplikasi media sosial masing-masing agar sambutan HKHM diraikan secara meriah menerusi platform secara dalam talian.

Media juga katanya memainkan peranan untuk bersama-sama menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos dengan sasaran 100,000 pengunjung. – 19 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related