KUALA LUMPUR – Waris dan keluarga penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, tiba di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada kira-kira jam 8.15 pagi.
Muhamad Hafiz adalah seorang daripada 10 mangsa yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), dengan nombor pendaftaran N28JV.
Pesawat itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran kawasan perumahan Seksyen U16 di Bandar Elmina, Shah Alam pada kira-kira jam 2.40 petang kelmarin.
Sembilan mangsa lain adalah seorang pemandu kereta dan lapan penumpang serta kru pesawat, termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, memberitahu satu jenazah mangsa nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina di Shah Alam akan diserah kepada keluarga pagi ini.
“Kita akan serahkan satu mayat esok pagi, kita akan hubungi keluarga dahulu sebelum maklumat lanjut didedahkan kepada umum,” katanya. – 19 Ogos 2023