Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Isteri ‘siasat’ sendiri video tular untuk sahkan suami terbabit nahas pesawat | Scoop

Isteri ‘siasat’ sendiri video tular untuk sahkan suami terbabit nahas pesawat

Gerak hati Suhaila cukup kuat menyatakan suaminya antara mangsa terbabit dalam nahas itu selepas melihat pesawat ringan tersebut sama seperti jet dinaiki suaminya

5:54 PM MYT

 

KLANG – Isteri kepada seorang daripada mangsa tragedi pesawat Beechcraft Premier 1, Shaharul Amir Omar, menguatkan semangat untuk ‘menyiasat’ sendiri kejadian itu semata-mata mahu mengesahkan suaminya terbabit dalam kejadian yang tular di media sosial, semalam.

Suhaila Akasha, 46, berkata, gerak hatinya cukup kuat menyatakan suaminya antara mangsa terbabit dalam nahas itu selepas melihat pesawat ringan itu sama seperti jet yang mahu dinaiki suaminya.

“Jujurnya saya hanya tahu mengenai kejadian menimpa suami itu di media sosial dan sebagai seorang isteri, saya juga merasa tidak sedap hati dan yakin sesuatu terjadi kepada suami.

“Saya cari sendiri (maklumat) di media sosial dan kumpulkan anak-anak yang berada di asrama untuk pulang dan bersedia untuk menerima ketentuanNya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Suhaila berkata, dia kemudiannya menghubungi tempat lama suaminya bekerja untuk mengesahkan status sebenar kejadian itu.

“Suami saya adalah bekas tentera laut dan mereka hanya mengesahkan suami saya berada di dalam pesawat itu.

“Saya hanya mendapat pengesahan (suami terkorban) daripada tempat suami saya berkhidmat sekarang,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan suami pada malam sebelum kejadian.

Tambahnya, dia dan ahli keluarga yang lain akan pulang ke Manjung, Perak terlebih dahulu sementara menunggu panggilan daripada pihak berkuasa untuk menuntut jenazah suami.

“Saya reda dengan tragedi yang menimpa dan berharap semua urusan bagi pengurusan jenazah suami dipermudahkan,” katanya.

Dalam insiden pada jam 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat Shah Alam.

Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.

Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.

Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat. – 18 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related