KUALA LUMPUR – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) sebagai agensi yang diharap untuk menyampaikan manfaat dan perkembangan program kerajaan kepada rakyat secara konsisten, dilihat ‘tersasar’ daripada hala tuju sebenar.
Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA) Profesor Mohd Said Bani CM Din berkata, malah agensi itu dianggap terlewat untuk melaksanakan fungsinya dalam mempromosikan program kerajaan yang sepatutnya dimulakan sejak awal, bukan pada saat akhir menjelang sesuatu acara besar, termasuk pilihan raya.
“Saya turut berpandangan ‘kegagalan’ J-KOM kerana sistem penyampaian agensi itu lebih mengagungkan personaliti atau mengetengahkan individu, contohnya pemimpin negara terutama menjelang pilihan raya, berbanding mempromosikan apa dilaksanakan kerajaan untuk rakyat sehingga boleh membuatkan mereka merasa manfaatnya.
“Kalau J-KOM mengetengahkan dan mempromosi apa kerajaan lakukan pada saat akhir untuk pilihan raya, itu satu pendekatan salah kerana ia harus dilakukan dari awal, malah kalau ia ketengahkan manfaat program kerajaan kepada rakyat secara konsisten sejak mula pun, usaha itu sepatutnya berterusan. Saya cakap ini bukan dalam konteks kerajaan sekarang tapi mana-mana kerajaan pun,” katanya kepada Scoop.
“Setiap wakil rakyat juga sepatutnya proaktif sepanjang tahun dan setiap tahun di kawasan sendiri. Mereka juga memainkan peranan penting untuk berkongsi apa dilaksanakan kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan untuk menggalakkan kesedaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Said berkata, realitinya kelemahan agensi kerajaan boleh tercetus disebabkan kemungkinan ia meletakkan individu yang tidak memiliki pengalaman dan pengetahuan untuk mengendalikan sesuatu isu.
“Tapi saya tidak merujuk kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) ke, Ketua Pengarah ke, saya cakap mengikut apa yang berlaku,” katanya
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff menyarankan kerajaan melaksanakan kajian separuh penggal terhadap keseluruhan sistem penyampaiannya, termasuk di J-KOM.
Menurutnya, kajian itu penting bagi memastikan sistem penyampaian lebih baik kepada masyarakat dilaksanakan, termasuk memastikan kerajaan dapat meneraju negara bagi tempoh lima tahun dengan lancar.
“Memang bersesuaian dan masa yang tepat untuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai kapten dalam kerajaan, mengadakan kajian separuh penggal kerana perkara ini, tak boleh dibiar secara cebisan.
“Walaupun bagi saya perkara dibangkitkan rakyat berhubung J-KOM itu, termasuk petugas parti tidak boleh dinafikanlah, kajian ini penting kerana sekiranya didapati berkaitan isu komunikasi, ia tak boleh diselesaikan secara memfokuskan kepada individu yang memimpinnya, sebaliknya perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya.
Namun, beliau yang juga seorang peguam berkata, kajian separuh penggal dilakukan itu harus disusuli tindakan sewajarnya, terutama dalam waktu tepat ketika pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika ini bagi mengenalpasti kelemahan dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya seterusnya.
Ditanya mengenai kriteria dan kredibiliti individu sewajarnya dilantik memimpin agensi kerajaan, Yusmadi menegaskan ia memerlukan mereka yang mempunyai gabungan ‘kepakaran dengan formula tepat.’
Tegasnya, apa lebih penting juga, setiap portfolio perlu dibahagikan kepada individu dengan tugasan spesifik dan tidak berlapis terlalu banyak bagi melancarkan urusan agensi.
“Saya cadangkan mungkin untuk hal ehwal parti (politik), ia memerlukan orang berdedikasi sepenuh masa untuk membina parti. Macam di Indonesia, jawatankuasa parti tidak dilantik sebagai menteri, jadi mungkin kita perlu belajar dari model parti politik yang berjaya,” katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, J-KOM seharusnya digunakan untuk menyebarkan insentif dan manfaat diberikan kerajaan kepada rakyat supaya golongan sasaran terbabit, mendapat hak mereka, namun dilihat gagal berbuat demikian.
Justeru, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor itu, meminta jawatan Ketua Pengarah J-KOM dipegang Datuk Mohammad Agus Yusoff digantikan dengan individu lain, susulan beliau dianggap gagal memainkan peranan untuk memastikan agensi berkenaan melaksanakan tugas secara berkesan. – 16 Ogos, 2023