Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Senarai portfolio Exco dipersembah kepada Sultan Terengganu pagi esok: Ahmad Samsuri | Scoop

Senarai portfolio Exco dipersembah kepada Sultan Terengganu pagi esok: Ahmad Samsuri

'Insya-Allah, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah hari ini akan dimaklumkan portfolio masing-masing': Ahmad Samsuri

9:30 PM MYT

 

KUALA TERENGGANU – Senarai portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu akan dipersembah kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi esok, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bercakap kepada pemberita selepas Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, beliau berkata nama portfolio sedia ada sedang diteliti dan akan diselaras dengan badan atau agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tiada pertindihan.

“Selepas mempersembahkan kepada Tuanku, saya akan mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang pertama esok pada 10 pagi. Insya-Allah, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah hari ini akan dimaklumkan portfolio masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua bersama 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di hadapan Sultan Mizan.

Beliau turut menasihati ADUN Perikatan Nasional supaya bersikap terbuka dalam menyuarakan pandangan termasuk mengkritik kerajaan negeri susulan ketiadaan pembangkang di Dewan Undangan Negeri Terengganu susulan kemenangan gabungan PAS dan Bersatu di semua 32 kawasan.

Ahmad Samsuri berkata pihaknya juga akan memperhalusi langkah melantik wakil kelompok masyarakat sebagai ADUN lantikan sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Terengganu.

Beliau berkata rangka pelan lebih komprehensif terutama dalam mendepani situasi ekonomi yang lebih mencabar ketika ini akan dirangka bagi menarik pelabur ke Terengganu.

“Pada penggal pertama sebelum ini, saya ibarat membawa kenderaan pada ‘gear satu’ tetapi kali ini, kita akan terus masuk ke ‘gear tiga’ kerana kita perlu lebih pantas melaksanakan gerak kerja di peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri percaya hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri akan terus dipererat walaupun kini Terengganu dikuasai sepenuhnya oleh gabungan PAS dan Bersatu.

“Jadi saya rasa tidak ada masalah dan kita kerajaan negeri akan terus mengusahakan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya. – 15 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related