KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, beberapa perkara yang dibangkitkan warga Kementerian Kesihatan (KKM) pada sesi dialog dengan beliau di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam, sedang dalam tindakan.
Beliau berkata, berhubung isu elaun perpindahan pegawai perubatan ke Sabah dan Sarawak, perkara itu sedang dibincangkan beliau, Bahagian Sumber Manusia (BSM) KKM dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan berdasarkan peraturan perbendaharaan.
“Isu penurunan gred bagi pegawai farmasi dan pergigian yang dilantik ke skim tetap, akan turut dibawa ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Tempoh kontrak maksimum lima tahun bagi pegawai farmasi juga mendapat perhatian saya. Saya akan minta Bahagian Sumber Manusia untuk menilai semula bagi memastikan laluan kerjaya profesion ini lebih terjamin,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.
Dr Zaliha berkata, cadangan untuk pendigitalan sistem kesihatan juga akan menjadi keutamaan untuk dimantapkan dan diperluaskan ke fasiliti KKM di seluruh negara, selain ingin melihat Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dilaksanakan dalam kadar segera.
“Sesi libat urus bersama warga kerja kementerian seperti ini adalah platform kepada warga KKM untuk menyampaikan pendapat secara terus kepada saya sebagai Menteri Kesihatan.
“Insya-Allah, saya bertekad mewujudkan ekosistem kerja yang lebih inklusif, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya. – Bernama, 14 Ogos, 2023