Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dasar Pendidikan Tinggi Nasional sedang ditambah baik menerusi konsep 4P: Khaled | Scoop

Dasar Pendidikan Tinggi Nasional sedang ditambah baik menerusi konsep 4P: Khaled

KPT mahu Malaysia diangkat hab bakat dan kemahiran bertaraf global yang memberi pulangan kepada ekonomi negara

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melaksanakan usaha bagi memastikan Dasar Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada, diselaras dan ditingkatkan semula membabitkan tiga peringkat, iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha itu boleh disimpulkan menerusi konsep 4P, iaitu penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti bersama masyarakat dalam usaha ‘merakyatkan ilmu’ serta pengantarabangsaan dengan meningkatkan keterlihatan sektor pendidikan tinggi negara di peringkat global.

“Usaha untuk tingkatkan dasar ini, sedang diselaras serta ditingkatkan semula bagi memastikan bidang itu mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah dan sedang menyusun pelbagai inisiatif sokongan bagi tujuan itu, sekali gus bersama-sama menjayakan Ekonomi Madani di bawah Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Naratif Khas Ekonomi Madani Dalam Konteks Pendidikan Tinggi yang disiarkan secara langsung di RTM, malam tadi.

Khaled memaklumkan, dalam aspek penyediaan bakat, menjadi tanggungjawab kementerian untuk melatih dan melahirkan seramai mungkin bakat terbaik, sama ada berpendidikan atau berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pelabur serta masyarakat yang mahukan pekerjaan baik dan gaji lebih tinggi

Manakala, katanya, soal penyelidikan dan inovasi pula memerlukan ekonomi berasaskan penyelidikan yang melahirkan pengetahuan serta inovasi, malah ia tidak boleh dielakkan dalam usaha meletakkan Malaysia di kedudukan ekonomi serantau dan global.

“Pemindahan dan perkongsian ilmu daripada univerisiti kepada masyarakat juga penting kerana kita dapati banyak ilmu, boleh diterokai untuk mengupayakan masyarakat bagi mengatasi isu kemiskinan dan sebagainya.

“Dalam menjayakan kerangka ekonomi tersebut, hubungan universiti dengan masyarakat tidak boleh lagi berkisar kepada soal libat urus sahaja, sebaliknya harus bersedia bekerjasama dalam mewujudkan program bimbingan berterusan, bagi meningkatkan status dan kualiti ekonomi serta sosial masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Khaled berkata, penekanan harus diberikan kepada soal pengantarabangsaan kerana KPT mahu Malaysia diangkat sebagai hab bakat dan kemahiran bertaraf global yang memberi pulangan kepada ekonomi negara.

“Untuk makluman, kita kini mempunyai 20 universiti awam, 403 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan semua ini menawarkan kepelbagaian program kepada pelajar luar negara.

“Justeru, kalau lihat rekod sahaja, tahun lepas kita mempunyai seramai 109,000 pelajar antarabangsa dan kalau mengambil kira seorang pelajar itu, membelanjakan kira-kira RM45,000 setahun untuk yuran pengajian, makan dan gaya hidup, maka ia sebenarnya menyumbang RM9.4 bilion kepada ekonomi negara,” katanya. – 14 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related