SEMENYIH – Rata-rata pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih meluahkan kekecewaan dan agak terkejut kerana tidak ramai yang keluar mengundi di kawasan berkenaan.
Malah, mereka menganggap suasana di tempat pengundian itu tidak serancak semasa Pilihan Raya Umum (PRU-15) lalu.
Salah seorang pengundi di DUN berkenaan, K. Devanthiran, 26 berkata, keadaan di pusat mengundi di SJKC Sing Ming, di sini, kelihatan sunyi malah dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mengundi.
“Kalau dahulu, masa saya mengundi Ahli Parlimen ketika PRU-15 lalu, saya beratur dari jam 10 pagi dan hanya boleh masuk ke dewan mengundi pada pukul 1 petang.
“Tapi kali ini, masuk jam 10.30 pagi, nak dekat 10.55 pagi saya dah keluar.
“Saya pelik juga, kenapa tak ramai, kemungkinan PRN kali ini tidak ramai orang keluar mengundi atau mereka hanya keluar petang nanti,’’ katanya ketika ditemui Scoop, hari ini.
Senada dengan Devanthiran adalah Noor Maizatul Syahira, 27, namun dia menganggap ketiadaan ramai orang di pusat pengundian memberinya peluang melaksanakan tanggungjawab pada negara dengan segera sebelum ke tempat kerja.
Bagaimanapun, Maizatul berharap agar orang ramai keluar mengundi dan tidak mengambil tindakan memboikot proses demokrasi ini.
“Ini kali kedua saya mengundi, hari ini memang laju, tak macam seperti PRU-15 dulu, punyalah ramai sehingga saya hampir nak menyerah kalah kerana tak sanggup nak beratur hanya untuk mengundi.
“Namun, hari ini memang laju, saya pula rasa macam tak percaya, mungkin rezeki saya sebab dah tunaikan tanggungjawab saya, Allah permudahkan saya untuk tidak lambat hadir ke tempat kerja pada jam 11.30 pagi,” katanya.
Sementara itu, Yusof Abdullah, 53 pula berkata, meskipun sakit kaki namun dia tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Saya mengundi bersama anak perempuan saya. Saya terasa agak seronok hari ini. Mungkin saya tidak perlu tunggu terlalu lama dengan petugas SPR sungguh ramah dan sangat membantu,” katanya.
Pusat pengundian SJKC Sing Ming bagi DUN Semenyih mula dibuka oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jam 8 pagi tadi dan akan ditutup jam 6 petang nanti. – 12 Ogos, 2023