SIK — Shabudin Md Nor iaitu abang kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sanggup menolak dua tawaran kerja di Arab Saudi dan Qatar bagi memastikan dia dapat mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini, hari ini.
Shabudin, 57, sepatutnya sudah berangkat ke Arab Saudi dan Qatar pada Rabu lalu.
Beliau tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Bandar (SK) Baru Beris Jaya kira-kira jam 8.30 pagi tadi dan selesai membuang undi 15 minit kemudian.
Ketika ditemui, anak kedua daripada 13 beradik itu berkata 12 lagi adik beradiknya dan ibu bapanya akan turut mengundi di tempat yang sama.
“Demi kerana perjuangan, saya perlu tunaikan tanggungjawab saya hari ini untuk mengundi.
“Selepas ini saya akan terbang ke negara lain. Saya tak bimbang tentang kerja kerana sekarang ini tawaran kerja sangat banyak berikutan kenaikan harga minyak dunia,” katanya.
Pada 10 Julai lalu tular sebuah banglo di Kampung Batu 8, di sini yang didakwa milik Sanusi hasil daripada kegiatan perlombongam unsur nadir bumi (REE).
Menteri Besar Kedah itu kemudiannya menafikan gambar banglo yang ditularkan menerusi media sosial adalah miliknya.
Sebaliknya, beliau menegaskan kediaman terbabit adalah milik abangnya yang bekerja sebagai penyelam profesional dasar laut. – 12 Ogos, 2023.