KUALA LUMPUR — Meskipun sudah berusia 82 tahun dan mempunyai kesukaran untuk berjalan namun ia bukan halangan kepada seorang warga emas, Johariah Endut untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ditemani anaknya yang turut mengundi di SMK Taman Dato’ Harun bagi DUN Taman Medan, Johariah tidak pernah terlepas peluang untuk menjalankan tanggungjawab dengan mengundi dalam semua pilihan raya sepanjang usianya itu.
“Saya akan terus mengundi,’’ katanya ketika ditemui Scoop, di sini, hari ini.
Warga emas itu selesai mengundi pada jam 9.50 pagi. Dia bagaimanapun tidak membawa kerusi roda ke pusat pengundian itu kerana yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyediakan kerusi roda untuk golongan yang memerlukan.
DUN Taman Medan menyaksikan pertembungan antara calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afif Bahardin dengan calon Pakatan Harapan (PH), Syamsul Firdaus Mohamed Supri. – 12 Ogos, 2023