Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PRN: PDRM perketat kawalan keselamatan istana, kompleks pentadbiran kerajaan negeri - KPN | Scoop

PRN: PDRM perketat kawalan keselamatan istana, kompleks pentadbiran kerajaan negeri – KPN

Keselamatan di sesebuah istana itu amat penting kerana PDRM tidak mahu sebarang gangguan terhadap istana pada tengah malam sebaik keputusan diumumkan

7:38 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan keselamatan di lokasi-lokasi strategik termasuk di istana negeri yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sebaik keputuan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diumumkan Sabtu ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata langkah itu adalah untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di lokasi-lokasi strategik berkenaan terjamin selepas pasca-PRN.

Beliau berkata keselamatan di sesebuah istana itu amat penting kerana PDRM tidak mahu sebarang gangguan terhadap istana pada tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

“Kami tidak mahu istana atau sultan di negeri diganggu tengah-tengah malam untuk (pimpinan kerajaan negeri yang baharu) angkat sumpah.

“Kami (PDRM) akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan aman berdasarkan Perlembagaan,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Razarudin berkata sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri melibatkan enam negeri dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN ini, PDRM telah membuat persiapan penugasan sebelum hari penamaan calon, undi awal dan tempoh kempen bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.  

Beliau berkata sebanyak 36,492 pegawai dan anggota polis yang bersedia mengawasi perjalanan PRN kali ini disertai oleh antaranya Polis Simpanan Persekutuan, Pasukan Gerakan Udara dan Pasukan Gerakan Am.

“Ini termasuklah menjaga dan mengangkat peti undi untuk disimpan di dalam lokap-lokap yang telah dikosongkan,” katanya.

Selain itu, Razarudin juga memberi jaminan keselamatan kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk keluar mengundi tanpa rasa takut.

“Saya tahu ketika ini, PDRM sedang bertugas pada PRN sehinggalah pasca-PRN, saya hendak mereka ini (calon, penyokong dan pengundi) keluar mengundi tanpa rasa disekat atau dihalang.

“Saya sebagai KPN dan Timbalan saya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua-Ketua Polis Negeri dan Ketua-Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini telah bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Razarudin berkata memandangkan ada pusat-pusat pengundian yang ditempatkan di beberapa sekolah di negeri-negeri yang mengadakan PRN, dijangka berlaku kesesakan trafik, namun pihaknya akan mengawal keadaan itu.

“Pengundi-pengundi tidak perlu rasa risau akan kesesakan trafik di sekolah-sekolah berhampiran kerana ada polis trafik yang akan mengawal kesesakan lalu lintas pada Sabtu ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian bagi PRN di enam negeri serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari hingga 11.59 malam pada 11 Ogos. – 10 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related