ALOR SETAR — Tidak menjadi satu masalah sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) ketika tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Perdana Menteri pastinya sudah memikirkan masa dan ketika yang paling sesuai untuk pengumuman berkenaan.
“Saya fikir bukan ada masalah sama ada ketika pilihan raya atau di luar tempoh pilihan raya sebab sesuatu yang baik untuk rakyat kalau kebetulan masa pilihan raya yang itu kira ok la kan.
“(Kerajaan) kira juga kemampuan kewangan negara, kalau ada kemampuan why not (kenapa tidak),” katanya pada sidang media di Bangunan Ibu Pejabat UMNO negeri di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar SSHP daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Sentuhan Agromadani Peringkat Negeri Perak.
Dalam pada itu, Mahfuz pula berpandangan, pengumuman Perdana Menteri itu dilakukan pada masa yang sesuai dan tepat berikutan pesawah sudah mula mengambil padi.
“Timing saya ingat sudah betul, orang dah mula ambil padi. Kalau dia tunggu selepas pilihan raya, naya bagi orang yang ambil padi sekarang ini.
“Kalau berkuat kuasa lepas pilihan raya, orang akan terlepas subsidi ini, bagi saya timing itu kena, ini musim orang ambil padi,” katanya.
Sementara itu mengulas kempen PRN yang berbaki dua hari lagi, Mahdzir berkata, BN dan PH berada pada tahap menyakinkan untuk berjaya menubuhkan kerajaan atau meletakkan gabungan itu di hadapan dalam persaingan dengan Perikatan Nasional (PN).
“Saya dapat laporan dan Datuk Mahfuz serta pimpinan juga dapat maklumat bahawa keyakinan rakyat pelbagai kaum kepada anjuran pimpinan Kerajaan Perpaduan ini mendapat sokongan masyarakat.
“Jadi banyak DUN yang semalam bila kita tengok kepada peratusan sokongan meningkat dengan baik dan sangat progresif daripada pelbagai kaum, ini sesuatu yang baik dan menarik di Kedah,” katanya.
Mahfuz pula berkata, slogan ‘Kalih bagi sama’ telah mula diterima masyarakat dan ini menambah kebimbangan PN sekali gus cuba menimbulkan naratif bahawa selepas PRN ini kerajaan Pusat akan bertukar.
“Ini hanya permainan psikologi untuk memastikan supaya di peringkat enam negeri ini khususnya di Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak berlaku perubahan kerajaan, mengekalkan PN untuk pastikan sama dengan kerajaan Pusat yang dikatakan bakal bertukar selepas pilihan raya .
“Jadi ini menunjukkan mereka begitu bimbang dengan slogan yang dibawa BN-PH.
“Saya yakin rakyat negeri ini akan melakukan satu langkah untuk menebus maruah dan nama baik Tuanku Sultan Kedah yang tercalar akibat penghinaan (Menteri Besar Kedah) Muhammad Sanusi terhadap Sultan Selangor,” katanya. – 9 Ogos, 2023.