SABAK BERNAM – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan kerajaan Selangor digesa mempergiatkan lagi promosi pelancongan domestik, khususnya pekan Sekinchan bagi menarik seramai mungkin pelancong asing sebagai usaha meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Pemilik Ah Ma House, Ng Joo Leong, 45, berkata, inisiatif itu juga sekali gus dapat membantu meningkatkan aliran masuk wang ke dalam negara, seterusnya mengukuhkan kembali nilai ringgit.
Menurutnya, kejatuhan nilai ringgit sepatutnya mendorong kemasukkan pelancong asing ke Malaysia, namun situasi itu masih belum ketara dan usaha perlu dipertingkatkan untuk menarik kedatangan mereka.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri harus mencari pendekatan holistik mengenai kaedah untuk menarik pelancong datang ke Malaysia memandangkan ketika ini di Sekinchan, majoritinya adalah pelancong tempatan.
“Pada masa sama, cari pelabur luar yang berani bukan sahaja mampu membina fasiliti lebih besar dan baik, namun mampu menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik bagi memikat hati pelancong,” katanya kepada Scoop.
Mengulas lanjut, peniaga kuih kapit itu berkata, usaha kerajaan menggalakkan industri agropelancongan ternyata memberi impak besar dalam meningkatkan taraf hidup, ekonomi, dan peluang pekerjaan bagi masyarakat luar bandar.
“Sektor berasaskan industri asas tani dan inap desa atau homestay memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat apabila saban tahun menerima peningkatan pengunjung ke Sekinchan.
“Bukan sahaja kami yang mendapat keuntungan, malah peniaga kedai makan, usahawan produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta mereka yang mengusahakan homestay turut mendapat manfaat,” katanya.
Dalam pada itu, pengusaha inap desa, Ina Villa, Abdul Razak Rahman, 41, berkata, kerajaan Selangor seharusnya melihat aspek positif kewujudan kemudahan itu sebagai produk pelancongan yang perlu dibantu serta diperkasakan dengan sewajarnya.
Jelasnya, inap desa menjadi alternatif kemudahan penginapan kepada pelancong dan salah satu inisiatif untuk memajukan sektor pelancongan dalam kalangan Bumiputera di Sekinchan.
“Namun, kita bersyukur dan teruja apabila kewujudan Terminal Sekinchan yang menempatkan pesawat di tengah sawah di Parit 5 bakal membuka peluang kepada pengusaha inap desa dan peniaga menjana pendapatan. Maka, promosi pelancongan perlu dilaksanakan.
“Sekarang tempat itu tular dan semakin terkenal. Masyarakat kini lebih memilih untuk bermalam di inap desa yang ada di sini. Bayangkan, Sekinchan yang dahulunya perkampungan nelayan kini pesat membangun, bukan sahaja sektor pertanian dan perikanan tetapi pelancongan,” katanya. – 6 Ogos, 2023