Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Video 3 tahun lalu viral semula, calon PN DUN Lunas akan saman RM10 juta | Scoop

Video 3 tahun lalu viral semula, calon PN DUN Lunas akan saman RM10 juta

Susulan penyebaran video berkenaan serta laporan salah, pihaknya akan mengambil tindakan saman terhadap hampir 10 pihak, termasuk beberapa media dan individu

11:44 PM MYT

 

PADANG SERAI – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli menegaskan video viral berdurasi 19 saat bertajuk ‘Calon PN tolak warga emas’ yang tersebar sejak semalam adalah kejadian tiga tahun lepas.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PN Kedah berkata, kejadian berlaku di pejabatnya di Taman Ihsan, Lunas itu dirakam pihak terbabit dengan niat merosakkan reputasinya.

“Ini bukan video baru, ini dah tiga tahun lepas, diviralkan di media sosial dan ada yang mendapat tontonan sehingga empat juta.

“Video dirakam itu berdurasi lapan minit, tapi yang diviralkan hanya 19 saat dan tidak memaparkan keseluruhan apa yang berlaku. Kalau nak viral boleh tetapi siarkan sepenuhnya supaya rakyat dapat nilai.

“Saya juga geli hati dengan tajuk yang dinyatakan iaitu ‘calon PN DUN Lunas bertindak menolak warga emas’ dan ini cubaan merosakkan reputasi saya, sedangkan individu yang ditolak itu hanya empat tahun lebih tua dari saya,” katanya yang berusia 42 tahun.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Unit Daerah Mengundi Pekan Padang Serai di sini, malam ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Khairul Anuar berkata, individu dalam rakaman terbabit juga bertindak membuat laporan polis dan beliau kemudiannya didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan.

“Kes ini telah melalui proses perbicaraan di mahkamah selama 18 bulan, namun mahkamah akhirnya membuat keputusan membebaskan saya daripada pertuduhan pada 28 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata, susulan penyebaran video berkenaan serta laporan salah, pihaknya akan mengambil tindakan saman terhadap hampir 10 pihak, termasuk beberapa media dan individu dalam masa terdekat.

“Saman RM10 juta (bagi setiap pihak) ini akan difailkan oleh peguam saya dalam waktu terdekat bagi membersihkan imej dan memulihkan balik reputasi saya sendiri.

“Saya tidak akan kompromi dalam soal ini, tidak akan memberikan ruang kepada mana-mana pihak untuk memohon maaf kerana saya tegas untuk tetap meneruskan saman ini kerana ini fitnah jahat dan amat keterlaluan, menyerang peribadi dan menjatuhkan maruah keluarga,” katanya. – 2 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related