Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
PAS tunjuk wajah sebenar di Pulau Pinang | Scoop

PAS tunjuk wajah sebenar di Pulau Pinang

Bersatu, Gerakan 'bengang' sikap perkauman, licik sekutu PN

8:02 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wajah sebenar PAS mula kelihatan menerusi layanan ke atas rakan dalam Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang.

Dan penilaian ini tidak lain, datangnya daripada pemimpin kanan PN.

Ahli jawatankuasa pusat PN yang tidak mahu didedahkan itu memberitahu Scoop bahawa kejadian di mana presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau dihalau dari ceramah PAS di Sungai Dua telah menunjukkan bagaimana PAS melayan rakan gabungannya serta rancangan untuk mengambil alih Pulau Pinang.

“Pada malam yang sama di mana Dominic telah dihalau, (presiden PAS Datuk Seri Abdul) Hadi Awang memberitahu bukan Melayu supaya tidak takut dengan PAS.

“Ini adalah pembohongan. PAS adalah parti yang rasis dan saya bimbang ia menjadi lebih berkuasa,” kata pemimpin Melayu itu.

Dalam situasi di Pulau Pinang, katanya, andaiannya ialah Gerakan mempunyai peluang lebih baik di negeri itu sama seperti tradisi sebelum ini di mana Gerakan pernah memerintah Pulau Pinang.

“Namun PAS telah mendominasikan di Pulau Pinang dengan meminggirkan Gerakan, malah tanpa persetujuan dengan Bersatu.

“Ia mahu menentukan pengagihan kerusi dan cuba mensabotaj peluang Gerakan dalam Pilihan Raya Negeri,’’ katanya sambil menambah Gerakan tidak boleh menang kerusi yang diperuntukkan itu.

“PAS memutuskannya tanpa berunding dengan Bersatu atau Gerakan.

“PAS tidak mahu Gerakan menang. Ia mahu Pulau Pinang menjadi negeri PAS,” katanya

Beliau memberitahu daripada 15 kerusi Melayu yang dipertandingkan di Pulau Pinang, lapan daripadanya diperuntukkan kepada PAS dan tujuh kepada Bersatu.

PAS meneruskannya dan mendalangi bantahan serta turut mengkritik rakan mereka sendiri dalam PN.

“Ketika Dominic disebut-sebut untuk bertanding di Teluk Ayer Tawar, PAS menyatakan bahawa Dominic tidak sepatutnya diletakkan di kawasan Melayu meskipun ia adalah kawasan bercampur-campur.

“Kini beliau diletakkan di Bayan Lepas, PAS telah memboikot kempen di situ,” kata pemimpin PN itu, merujuk kepada hari penamaan calon di mana jentera pilihan raya PAS tidak kelihatan ketika Lau menyerahkan borang pencalonan.

“Dominic ialah presiden Gerakan kebangsaan dan rakan kongsi yang penting. Bagaimana anda boleh melayannya begitu?

“Semua ini menunjukkan kepada saya bahawa PAS adalah parti yang rasis…tidak menghormati rakan mereka dalam PN termasuk Bersatu,” katanya sambil menambah seperti yang diketahui, PAS tidak ada rasa hormat untuk Gerakan kerana ia adalah parti Cina dan tidak boleh dipercayai.

Beliau terus menambah walaupun PAS mempertaruhkan kerusi Amanah, namun apabila ia melibatkan kerusi Umno, ia mahu berkongsi dengan Bersatu.

“Mereka sangat licik dalam berurusan dengan kami. Saya bimbang jika mereka menjadi lebih berkuasa terutama di Pulau Pinang.

“Saya berat hati untuk menyatakan perkara ini tetapi melihat kepada cara mereka melayan Dominic dan pemimpin Bersatu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Datuk Radzi Jidin, saya amat bimbang.’’

Ditanya kenapa beliau mendedahkan perkara ini ketika Pilihan Raya Negeri berlangsung, pemimpin PN itu berkata beliau perlu mendedahkan wajah sebenar PAS demi masa depan negara.

“Walaupun Bersatu berpaksikan Melayu-Islam dan Gerakan ialah parti berteraskan kaum Cina namun sentiasa mengambil pendekatan inklusif.

“Mereka mengakui dan menerima kepelbagaian negara ini tetapi PAS kini menjadi semakin berhaluan kanan dan tidak bertoleransi dengan baik.’’

Beliau berkata, dialog dan ‘pujukan’ dibuat pemimpin PAS dalam pimpinan PN masih berterusan tetapi tidak begitu memberansangkan.

“Sikap suka berperang ‘PAS’ akan memberikan kesan kepada undi bukan Melayu.

“Jika PN gagal merampas Selangor dan Negeri Sembilan, tanggungjawab dan kesalahan mesti ditujukan kepada sikap perkauman serta cauvinis PAS,’’ katanya sambil mengecam Ketua PAS Balik Pulau, Muhammad Fauzi Yusuf kerana merancang bantahan terhadap Lau di Bayan Lepas.

Muhammad Fauzi juga adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang serta calon di Sungai Dua.

Pemimpin PN itu turut menyelar Ketua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh yang membuat bantahan terhadap Lau di Teluk Air Tawar.

“Jika PN gagal di Pulau Pinang dan Selangor, ia adalah disebabkan oleh sikap rasis mereka,’’ katanya. – 3 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Related