Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
5 warga asing ditembak ketika cuba serang penguat kuasa APMM dengan parang | Scoop

5 warga asing ditembak ketika cuba serang penguat kuasa APMM dengan parang

Seorang daripada dua warga asing yang ditemui dalam bot disahkan meninggal dunia, suspek lain masih dirawat

1:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengesahkan menerima laporan berhubung tiga lelaki disyaki warga asing mengalami kecederaan dipercayai kesan tembakan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan yang dijalankan mendapati ia adalah rentetan kes melibatkan sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor yang dilanggar empat kali oleh sebuah bot dipercayai milik suspek ketika menjalankan tugas rondaan perairan di Tanjung Rhu pada 3 pagi hari yang sama.

Jelasnya, laporan mengenai suspek dibuat seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan ketika sedang bertugas yang memaklumkan menerima kesemua mangsa pada 7.30 pagi.

“Kesemua pesakit dalam keadaan sedar dan mengalami kesan kecederaan kesan tembakan di anggota badan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Husein memberitahu, dalam kejadian di Tanjung Rhu itu, dua suspek dipercayai warga asing yang berada di dalam sebuah bot cuba menyerang pihak APMM menggunakan parang.

Jelasnya, bagi mempertahankan diri dan keselamatan, anggota APMM telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot terbabit.

“Bot itu kemudian berjaya dilarikan ekoran keadaan yang gelap. Lebih kurang 9 pagi, pihak APMM menerima maklumat orang awam, terdapat sebuah bot terdampar di pesisir Pantai Banting, Kuala Langat,” katanya.

Tinjauan APMM ke lokasi itu, katanya menjumpai dua lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati, seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi masih hidup serta dalam keadaan kritikal lalu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan.

Hussein berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Beliau berkata kes turut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh dalam kenyataan berasingan memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah bot fiber yang tersadai di beting lumpur, kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey, pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan dua lelaki disyaki warga Indonesia di dalam bot terbabit. Pasukan ambulans dari HTAR Klang tiba di jeti dan memberikan rawatan awal. Seorang disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. – 25 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Related