KUALA LUMPUR – Keluarga model Mongolia, Altantuya Shaariibuu menggesa kerajaan menjalankan siasatan terperinci terhadap tuduhan yang terkandung dalam afidavit difailkan oleh bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.
Peguam mewakili keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo mendakwa afidavit itu yang diterima sebagai rekod mahkamah, tanpa bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, mendakwa penglibatan pegawai tinggi kerajaan dalam mengarahkan operasi sulit untuk membunuh dan melupuskan jenazah mendiang Altantuya Shaariibuu.
Beliau berkata, impak tuduhan ini sangat serius dan secara langsung mencabar integriti institusi awam negara, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sekiranya tuduhan ini terbukti benar, ia menunjukkan eksploitasi institusi negara untuk agenda peribadi oleh individu berpengaruh, yang bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat tetapi juga merosakkan reputasi antarabangsa negara.
“Kerajaan tidak mampu dilihat berkompromi atau terlibat dalam usaha menutup skandal sebesar ini.
“Sebarang persepsi mengenai kegagalan bertindak atau cubaan menyembunyikan kebenaran akan mencemarkan kredibiliti pentadbiran ini dan reputasi negara di mata rakyat serta komuniti antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata, surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sejak Oktober 2024 yang disalinkan kepada Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara, masih tiada maklum balas.
“Soalnya kini, berapa lama lagi pihak-pihak yang terkesan harus menunggu sebelum tindakan sebenar diambil?
“Sampai bila kerajaan ingin mendiamkan diri sementara reputasi negara terus tercalar?,” soalnya.
Sangeet berkata, kerajaan harus memastikan PDRM dan institusi kerajaan lain dilindungi daripada eksploitasi oleh pihak berkuasa atau individu yang berpengaruh.
“Ambil tindakan segera dan tegas seperti yang dijanjikan oleh pentadbiran semasa, menegakkan kedaulatan undang-undang, dan integriti institusi kehakiman negara ini,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan mesti memberikan penjelasan tentang usaha terkini untuk memastikan kepulangan Sirul Azhar Umar dari Australia supaya beliau dapat menghadapi akibat undang-undang.
Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan semakan hukuman yang difailkan oleh Azilah dengan menggantikan hukuman mati kepada penjara 40 tahun berkuatkuasa dari tarikh tangkapan selain 12 kali sebatan.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan afidavit tambahan dan surat daripada keluarga Altantuya.
Altantuya ketika berusia 28 tahun telah dibunuh di kawasan terpencil di Shah Alam, Selangor pada Oktober 2006 sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.
Mahkamah sebelum ini mendapati Azilah dan bekas komando polis, Sirul Azhar Umar bersalah atas pembunuhan tersebut dan menjatuhkan hukuman mati pada April 2009.
Manakala Sirul melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan kedua-duanya dan mengembalikan sabitan serta hukuman mati mereka pada 2015.
Disebabkan melebihi tempoh visa pelancong, Sirul ditahan oleh pihak berkuasa Australia yang mempunyai dasar tidak menghantar pulang sesiapa yang menghadapi hukuman mati di negara asal.
Ketika ini dia sudah dibebaskan dan terus menetap di Australia. – 3 Januari, 2025