Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
MAG dikejutkan dengan peletakan jawatan dua eksekutif kanan | Scoop

MAG dikejutkan dengan peletakan jawatan dua eksekutif kanan

Ahmad Luqman yang pernah diramal menerajui syarikat penerbangan nasional meletak jawatan, bersama dengan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan

11:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dua eksekutif kanan Malaysian Aviation Group (MAG) telah meninggalkan syarikat yang mengendalikan penerbangan nasional, dalam apa yang disifatkan sebagai satu langkah mengejutkan.

Kontrak Ketua Pegawai Eksekutif MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan, Lau Yin May tidak disambung.

Namun tidak diketahui sama ada ia merupakan persetujuan bersama atau tidak.

Pemergian Luqman menimbulkan tanda tanya kerana beliau bermula dari bawah dan merupakan antara yang disebut-sebut untuk menggantikan Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.

Bagaimanapun Izham yang menerajui syarikat penerbangan nasional itu sejak 2017, telah dilanjutkan kontrak selama setahun pada 2024. Ia selepas rancangan untuk mendapatkan orang luar bagi mengetuai syarikat penerbangan ditangguhkan.

Difahamkan keputusan itu diluluskan oleh Khazanah, pemegang saham tunggal MAG.

MAG adalah syarikat induk kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang mengendalikan syarikat penerbangan nasional.

Izham mengumumkan keputusan pemergian Ahmad Luqman dan Lau menerusi mesej emel kepada kakitangan.

Dalam emel yang dilihat oleh Scoop, Izham berkata beliau akan bertindak sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif penerbangan itu manakala Bryan Foong yang merupakan Ketua Pegawai Strategi & Tranformasi akan mengawasi portfolio Yin May sementara kumpulan memulakan proses pencarian untuk kedua-dua peranan itu.

“Bagi pihak Kumpulan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Luqman dan Yin May atas kepimpinan teguh mereka, terutama semasa berdepan cabaran yang belum pernah terjadi akibat pandemik Covid-19 dan penstrukturan semula Kumpulan. Mereka menjadi tonggak kekuatan yang penting bagi MAG, dan sumbangan mereka akan sentiasa dikenang,’’ kata Izham dalam emel tersebut.

Pencapaian ketara Luqman ialah ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo di mana beliau memperbaiki prestasi kewangan dan meletakkan MASkargo sebagai peneraju kargo udara negara.

Susulan penstrukturan semula Kumpulan, Luqman memainkan peranan penting dalam mencapai sinergi operasi dan komersial di semua syarikat penerbangan di bawah tonggak perniagaan Airlines, memastikan sumbangan yang kukuh terhadap prestasi kewangan Kumpulan.

Pada masa sama, Yin May memainkan peranan penting dalam kejayaan inisiatif utama seperti Projek Orion dan kemajuan ke arah Destination 2030.

Perubahan ini berlaku pada masa yang mencabar untuk MAG, dengan Malaysia Airlines berdepan isu operasi dan penelitian terhadap protokol keselamatan.

Pada Ogos, audit yang mengejut oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendedahkan mengenai masalah kritikal di MAB dan cabang kejuruteraannya, MAB Engineering Services (Mabes).

Ini termasuk kekurangan pekerja mahir dan bahagian pesawat, menyebabkan CAAM mengurangkan tempoh perakuan pengendali udara (AOC) MAB daripada tiga tahun kepada setahun sahaja.

Penemuan audit ini berlaku ketika beberapa gangguan perkhidmatan telah menjejaskan Malaysia Airlines.

Pada bulan Ogos sahaja, tiga penerbangan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disebabkan masalah teknikal, termasuk masalah tekanan kabin.

Namun secara adil, isu-isu ini turut mempengaruhi syarikat penerbangan lain seperti Cathay Pacific dan Singapore Airlines.

Tahun lepas, MAG berdepan kritikan hebat selepas penamatan kontrak kerjasama selama 26 tahun dengan Brahim’s Food Services (BFS) berlaku tanpa rancangan kontigensi.

Ini menyebabkan beberapa penerbangan hanya menawarkan makanan yang siap dibungkus dan bukannya makanan panas, di mana dalam senario paling teruk, beberapa penerbangan bahkan berlepas tanpa makanan sempurna.

Kesannya, Izham dan Lembaga Pengarah serta Khazanah berdepan kecaman ramai dan desakan untuk berundur.

Scoop sudah menghubungi MAG untuk mendapatkan maklum balas. – 2 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Related