Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ahli akademik bidas PAS, guna istilah ‘jihad’ untuk kutip derma kes fitnah Siti Mastura | Scoop

Ahli akademik bidas PAS, guna istilah ‘jihad’ untuk kutip derma kes fitnah Siti Mastura

Menggunakan perkataan jihad bagi mengutip derma untuk membantu rakan seperjuangan yang didapati salah kes saman fitnah, tidak menggambarkan perjuangan Islam

1:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penggunaan perkataan ‘jihad’ dalam kutipan derma bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura yang kalah dalam kes saman tiga pemimpin DAP, tidak menggambarkan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, jihad adalah perkataan mulia namun apabila merujuk kepada kenyataan Siti Mastura, ia adalah kenyataan fitnah ke atas tiga pemimpin DAP dan telah dibuktikan di mahkamah.

Jelasnya, ia bukan hanya melibatkan DAP sahaja malah jika fitnah itu berlaku ke atas orang Islam maka teguran perlu diberikan.

“Guna perkataan jihad iaitu satu kesalahan jenayah (fitnah) untuk kumpul dana bagi membantu rakan seperjuangan dan menganggap ia sebagai tanggungjawab agama, maka itu salah,’’ katanya menerusi video yang dimuatnaik dalam TikToknya.

Pensyarah UiAM, Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, jihad adalah perkataan mulia justeru ia tidak boleh digunakan untuk mengutip derma bagi kesalahan fitnah. – Gambar media sosial, 26 Disember, 2024

Pada 4 Disember lalu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, diarah membayar RM750,000 kepada veteran DAP, Lim Kit Siang serta dua Ahli Parlimen parti itu selepas kalah dalam saman fitnah.

Dalam keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hakim Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.

Siti Mastura disaman selepas membuat dakwaan Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng semasa berceramah di Kemaman, Terengganu pada 2023.

Berikutan itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam laporan sebuah portal berkata tidak salah ahli semua peringkat parti PAS untuk menyumbang dalam ‘derma jihad’ kepada Siti Mastura.

Mengulas lanjut, Abu Hafiz berkata, ada cara yang lebih baik untuk melawan pemimpin DAP namun bukan menerusi fitnah.

“Lawanlah DAP di tempat mereka bertanding (pada pilihan raya). Itu caranya. Ada beberapa menteri dari DAP, maka lawan dari segi gerak kerja, bukan menggunakan fitnah kerana ia tidak menggambarkan perjuangan Islam,’’ katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Sahul HM berkata, PAS sepatutnya menegur seluruh saf kepimpinan mengenai bahaya fitnah selepas salah seorang pemimpin politiknya kalah dalam kes saman berkenaan.

Jelasnya, rakyat tidak kisah jika derma itu adalah bagi tujuan membantu tetapi apabila istilah ‘jihad’ digunakan, maka ia menunjukkan perbuatan memanupulasi agama.

“Perkara pertama yang sepatutnya dilakukan oleh PAS adalah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang bahaya fitnah dan menegur seluruh saf kepimpinan dan ahli supaya tidak menyebarkan fitnah. Itu baru Islam.

“Kami tak kisah pun anda memungut derma sesama sendiri atas tujuan saling membantu tetapi yang kami kisah adalah apabila anda menggunakan istilah agama seperti ‘jihad’ untuk menjustifikasikan perbuatan anda,’’ katanya.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata derma adalah sesuatu yang mulia dalam Islam tetapi bukan membela perbuatan fitnah. – Gambar fail Bernama, 26 Disember, 2024

Sementara Timbalan Presiden Amanah yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, dengan mengutip derma berkenaan maka ia menjadikan tindakan yang tidak beretika iaitu memfitnah sebagai sesuatu yang mulia.

Sedangkan derma, katanya adalah sesuatu yang mulia dalam Islam tetapi bukan untuk membela perbuatan fitnah.

“Kutip derma atau infak sangat mulia tapi bila infak untuk bela fitnah iaitu sesuatu yang telah dibuktikan, ini adalah isyarat yang sangat negatif dan tindakan tidak beretika,’’ katanya. – 26 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Four found dead after Pinkfish NYE concert in Sunway Lagoon, say cops

KUALA LUMPUR — Police have confirmed the deaths of two men and two women, all locals, who attended an electronic dance music (EDM) concert in Bandar Sunway, Subang Jaya, on Tuesday. Selangor Police...

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Malaysia Airlines and the return to chocks: Safety, statistics, and perception – Capt. Kamil

Why does MAS face scrutiny while other carriers remain unchallenged?

Related