KUALA LUMPUR – Seramai 40 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Terengganu pada Jumaat ini, susulan pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang tukang rumah, di negeri itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, bagi tujuan mengawal keselamatan, hanya 70 individu sahaja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat itu diadakan.
Hukuman berkenaan dijatuhkan ke atas seorang lelaki yang juga tukang kayu, Mohd Affendi Awang, 42 tahun, atas kesalahan melakukan khalwat berulang.
Menurut Azli, kawalan berkenaan juga sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang provokasi atau tindakan melampaui batasan sehingga mengganggu proses tersebut.
“Saya ingin menasihati orang ramai yang hadir di Masjid Ladang pada Jumaat ini supaya keluar dengan segera selepas selesai menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 20 November lalu, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail mengenakan hukuman enam sebatan itu selepas tertuduh yang juga seorang duda selepas dia mengaku salah atas tuduhan di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Hukuman sebat dikenakan ke atas Affendi memandangkan ia adalah kesalahan ketiga tertuduh.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Hakim turut memerintahkan hukuman sebatan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu pada 6 Disember depan selepas solat Jumaat sebaik tamat tempoh rayuan.
Namun hukuman itu ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Disember lalu.
Dalam pada itu, Azli turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di luar atau di sekitar perkarangan masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses hukuman yang akan dilaksanakan
.
“Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman. Hukuman telah diputuskan. Saya mohon supaya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan,” katanya. – 25 Disember, 2024