Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Guna drone turap jalan? JKR sedia pertimbangkan | Scoop

Guna drone turap jalan? JKR sedia pertimbangkan

KKR berkata penggunaan dron dalam projek pembinaan jalan dapat meningkatkan keberkesanan projek melalui penyediaan dan cerapan data yang tepat dan cepat

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR — Jabatan Kerja Raya (JKR) bersedia untuk mempertimbangkan penggunaan teknologi dron dalam kerja penurapan jalan sekiranya ia terbukti efektif berbanding kaedah yang digunapakai ketika ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam jawapan bertulis di Dewan Negara berkata meskipun dron belum digunakan dalam pelaksanaan kerja penurapan jalan di Malaysia namun ia sentiasa menyokong pembangunan lestari dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini dalam semua aspek pembinaan dan penyelenggaraan jaringan jalan di Malaysia.

“Penggunaan dron dalam projek pembinaan jalan turut dapat meningkatkan keberkesanan projek melalui penyediaan dan cerapan data yang tepat dan cepat,’’ katanya.

Ia bagi menjawab soalan daripada Senator Datuk Lim Pay Hen yang ingin mengetahui sejauh mana penggunaan kecerdasan buatan dan teknologi dron telah diguna pakai bagi pelaksanaan projek penurapan jalan tempatan dan perancangan KKR bagi memperluas teknologi tersebut dalam projek-projek di bawah kementerian.

Isu mengenai penurapan jalan di negara ini sentiasa hangat diperkatakan apabila ramai yang merungut mengenai kualiti jalan yang berlubang, walaupun baharu diturap.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya berkata, walaupun teknologi dron masih lagi belum diaplikasi bagi tujuan penurapan jalan, namun mendedahkan teknologi itu sudah diguna pakai secara meluas dalam pelaksanaan kerja-kerja penyiasatan forensik kemalangan jalan raya, jambatan dan pavemen. 

“Penggunaan dron dalam penyiasatan forensik ini membolehkan data-data yang diperolehi diproses dengan cepat, cekap dan efisien.

“Ia turut mengurangkan risiko bahaya kepada pasukan pegawai penyiasat yang terlibat terutama di lokasi-lokasi yang sukar dicapai atau tiada akses.

“Selain itu, ia dapat mempercepatkan proses pemeriksaan di kawasan yang sukar dicapai seperti di kawasan berbukit, cerun curam dan jambatan bagi membantu meningkatkan keselamatan dan ketepatan data pemeriksaan,” katanya.

Teknologi dron juga diperluas dalam aspek pengawasan trafik di pembinaan projek untuk mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Malah, ia juga dapat meningkatkan keberkesanan projek penyediaan dan cerapan data yang lebih tepat dan cepat. – 20 Disember, 2024 

Topics

 

Hangat

Related