Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
MRCB sahkan tarik diri daripada konsortium diketuai Berjaya bagi projek HSR KL-Singapura | Scoop

MRCB sahkan tarik diri daripada konsortium diketuai Berjaya bagi projek HSR KL-Singapura

Penamatan akan berkuat kuasa selepas berakhir tempoh 30 hari dari notis penamatan dikeluarkan

7:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mengesahkan ia menarik diri daripada konsortium yang diketuai oleh Berjaya Corporation Bhd, yang sedang membida projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Dalam pengumuman kepada bursa hari ini, MRCB berkata ia telah mengeluarkan notis kepada Berjaya Rail Sdn Bhd, anak syarikat Berjaya Land Bhd, hari ini, untuk menamatkan perjanjian kerjasama yang ditandatangani pada 15 Disember 2023 untuk tujuan menyertai konsortium tersebut.

“Selaras dengan Klausa 12.1.2 perjanjian kerjasama, penamatan akan berkuat kuasa selepas berakhir tempoh 30 hari dari notis penamatan,” kata MRCB kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ketika mengumumkan keputusan MRCB untuk menarik diri daripada konsortium, Berjaya dalam kenyataan semalam berkata, langkah MRCB itu bagi meninjau peluang strategik lain.

“Konsortium ini, termasuk Berjaya Rail Sdn Bhd, Keretapi Tanah Melayu Bhd, IJM Corporation Bhd dan rakan teknikal seperti Deutsche Bahn, Hitachi Rail dan Hyundai Rotem akan diperkukuhkan lagi untuk lebih sejajar dengan keperluan projek yang semakin berkembang dan memenuhi harapan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Penasihat Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata kumpulan itu kekal komited dalam misi melaksanakan sistem HSR bertaraf dunia, menyasarkan untuk mentransformasikan kesalinghubungan serantau dan pembangunan ekonomi di Malaysia.

Pada Mac, konsortium berkenaan adalah antara tiga yang disenarai pendek untuk projek HSR selain konsortium YTL Construction Sdn Bhd-SIPP Rail Sdn Bhd dan konsortium dari China iaitu China Railway Construction.

Berjaya Land memegang pegangan majoriti dalam Berjaya Rail, manakala saham selebihnya dimiliki oleh pengerusi syarikat, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, yang juga puteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Projek HSR, yang secara rasmi dipersetujui antara Malaysia dan Singapura pada Februari 2013, pada mulanya dijadualkan siap pada 2026, dengan laluan rel sepanjang 350 km bagi menghubungkan beberapa destinasi utama, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Namun, semasa tempoh pertama Pakatan Harapan sebagai kerajaan pada tahun 2018, projek ini menghadapi kritikan kerana kosnya yang tinggi dan kesan kewangan, menyebabkan projek ini ditangguhkan pada September tahun itu.

Projek ini secara rasmi ditamatkan pada tahun 2021 selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan, dengan Malaysia perlu membayar pampasan sebanyak S$102.8 juta kepada Singapura untuk kos yang ditanggung.

Ketika pihak berkuasa Malaysia sedang mempertimbangkan sama ada meluluskan projek ini semula, Latihan Permintaan Maklumat (RFI) yang dijalankan oleh MyHSR Corp Sdn Bhd, telah selesai awal tahun ini, pada Januari.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke minggu ini dilaporkan berkata Kabinet dijangka membuat keputusan dasar mengenai projek ini menjelang akhir Disember atau awal Januari tahun depan, sebelum memulakan semula rundingan dengan Singapura. – 19 Disember,  2024

Topics

 

Hangat

Related