KUALA LUMPUR – Rakyat sepatutnya dibenarkan menyuarakan pandangan mengenai raja-raja dan institusinya sekiranya ada keputusan yang dibuat golongan berkenaan memberi kesan dan mudarat kepada negara.
Bagaimanapun bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi berkata, pandangan yang disuarakan jangan sampai mewujudkan rasa tidak hormat kepada institusi raja.
“Saya fikir raja-raja adalah sebahagian daripada kerajaan, dan orang ramai harus dibenarkan untuk menyatakan pandangan mereka dengan cara yang tidak membuatkan mereka tidak menghormati raja-raja.
“Tetapi jika pihak raja-raja melakukan sesuatu yang tidak baik…atau tidak baik untuk negara, maka saya fikir adalah betul untuk kita sebagai orang awam harus dibenarkan menyatakan pandangan.
“Tetapi tidak sehingga menimbulkan rasa tidak hormat terhadap raja-raja, itu sangat penting, (kerana) di situlah di had anda dan (had) di mana anda (boleh) melepasi garisan,” kata beliau ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama, yang akan diterbitkan pada akhir bulan ini.
Ia diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.
Turut hadir sebagai tetamu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.
Selain itu Zaki turut bersetuju bahawa institusi diraja harus dilindungi namun bukan melindungi individu tertentu.
“Ya, institusi diraja mesti dilindungi, tetapi ada masa sesuatu yang tidak betul dilihat berlaku, yang mana kadang-kadang kita tidak tahu sama ada tuduhan atau khabar angin itu benar atau tidak, saya tidak tahu.
“Namun pihak kerajaan dan juga raja-raja, mereka juga tidak seharusnya terlalu sensitif sehingga rakyat langsung tidak boleh berkata apa-apa tentang mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan mengenai isu 3R (agama, kaum dan institusi raja) yang sering dikaitkan dalam isu tertentu termasuk politik.
Zaki berkata, dalam konteks Malaysia terutama menangani isu 3R, Akta Hasutan wajar dikekalkan.
“Pencegahan atau larangan itu didapati dalam akta hasutan, kerana kita tidak mahu orang ramai membuat rusuhan, mungkin kerana isu itu (3R).
“Seseorang pernah bertanya kepada saya bertahun-tahun yang lalu, apa pendapat anda tentang Akta Hasutan? Pendirian saya tetap kekal ke hari ini, Akta Hasutan mesti dikekalkan.
“Persoalannya, bagaimana anda menguatkuasakannya? Jangan menyalahgunakannya, itu sahaja, tetapi ia adalah undang-undang yang baik, dalam konteks Malaysia, kita memerlukan undang-undang itu,” katanya.
Sementara itu James pula berpandangan, 3R menjadi latihan propaganda yang baik, memberi peringatan kepada semua supaya jangan melepasi garis merah kerana ia isu sensitif dan perlu berhati-berhati.
“Tetapi pandangan saya sebagai peguam, jangan buat undang-undang apabila anda tidak boleh melaksanakannya, jadi apabila ia berkait 3R, undang- undang mana yang anda mahu gunakan untuk mendakwa orang itu?
“Walaupun anda menggunakan Akta Hasutan sebagai alat (untuk dakwa), terdapat banyak peruntukan dalam akta itu, dan banyak elemen yang perlu dipenuhi.
“Jika kita lihat di luar sana ramai mereka yang bijaksana, yang boleh menyuarakan dan memperjuangkan hak mereka sehabis-habisnya,” katanya. – 11 Disember, 2024