KUALA LUMPUR – Kisah pilu mengenai mayat bayi lelaki yang dilahirkan tidak sempurna kini tular di media sosial selepas didakwa ‘ditahan’ di dalam peti sejuk beku sehingga dua minggu oleh sebuah hospital swasta di Klang.
Kejadian ini berlaku selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar kos kelahiran bayi tersebut dan tidak dibenarkan menuntut bayi itu untuk dikebumikan.
Perkara berkenaan didedahkan unit pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official di dalam Facebook.
Menurutnya, bayi berkenaan dilahirkan dengan satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur dan ‘ditahan’ di hospital tersebut selama 16 hari.
“Dalam isu yang berlaku, jelas tindakan pemilik hospital menahan jenazah adik Adham dari diuruskan adalah satu tindakan tidak wajar dan kejam.
“Seperti yang dimaklumkan,pihak hospital telah menahan ibunya keluar dari wad selagi bayaran tidak dibuat oleh si ayah.
“Yang menjadi persoalan,kenapa jenazah adik Adham perlu ditahan dan disimpan didalam peti sejuk mayat selama 2 minggu?,’’ soalnya.
Menerusi ruangan komen, Wan Chai memberitahu bil rawatan keseluruhan hospital adalah RM3,600.
Wan Cai memberitahu, bapa bayi itu berkerja kilang di Shah Alam dan berasal dari Negeri Sembilan manakala ibunya pula berasal dari Melaka.
Bapa bayi berkenaan, kata Wan Cai baru lima hari bekerja ketika bayi tersebut dilahirkan dan dia berusaha mencari wang untuk membayar bil tersebut walaupun lambat.
Pada hari kejadian, katanya, bapa bayi itu sedang bekerja apabila dimaklumkan oleh jiran bahawa isterinya mengadu kesakitan dan telah dihantar ke hospital tersebut.
“Isterinya mengadu sakit sebelum dihantar oleh jirannya ke hospital tersebut dan ketika itu dia yang sedang bekerja telah bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai keadaan itu.
“Ikutkan perancangan suaminya mahu isterinya hospital Klang dan pihak hospital ada sarankan tapi selepas pemeriksaan bayi dah nak keluar,’’ katanya.
Tidak sampai 30 minit, kata Wan Cai, doktor memaklumkan ibu bayi itu mempunyai komplikasi dan memerlukan doktor pakar serta memerlukan kos yang tinggi.
Wan Chai memaklumkan, pihaknya terpaksa menggunakan air panas yang dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi ketika memandikan mayat bayi tersebut.
Pada hantaran itu, satu video menunjukkan jenazah bayi berkenaan dimandikan, disolatkan dan dikebumikan di sebuah tanah perkuburan di Selangor.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dibuat oleh hospital terbabit mengenai kejadian tersebut. – 11 Disember, 2024