KUALA LUMPUR — Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim tampil memohon maaf atas kejadian seorang penyanyi wanita yang mendakwa dirinya dirakam secara rahsia ketika serbuan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah pusat kecantikan di Subang Jaya, baru-baru ini.
Menurut Suee Lim, kemungkinan prosedur operasi standard (SOP) yang kurang jelas mengakibatkan salah faham antara PBT dan penyanyi berkenaan, Zamaera, atau nama penuhnya Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros, ketika serbuan dijalankan.
Suee Lim memberitahu, beliau tidak menyalahkan penyanyi berkenaan dan turut dimaklumkan rumah urut tersebut tidak berlesen.
“Apa yang berlaku…saya dimaklumkan rumah urut tersebut tidak berlesen, saya tidak menyalahkan penyanyi itu dan faham beliau mungkin rasa tercabar dari segi kehormatan peribadi, hak atau sebagainya,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan cukai taksiran PBT tahun 2025 di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.
Baru-baru ini, seorang penyanyi rap Sharifah Zamaera Al Edros Syed Zafile mendakwa pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merakamkan secara rahsia ketika dia tidak berpakaian semasa menjalani perkhidmatan urutan di Subang Jaya.
Dia mendakwa pegawai terbabit memasuki premis itu serta merakamkan video dirinya yang hanya ditutupi dengan tuala.
Berikutan itu, Ketua Polis Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua pihak iaitu penyanyi berkenaan serta pegawai penguatkuasa berkenaan sudah membuat laporan polis.
Menurut Wan Azlan, siasatan menyeluruh sedang dijalankan berdasarkan laporan terbabit di bawah Sekyen 186/ 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, mengaibkan kehormatan serta penularan video penugasan operasi yang dijalankan MPSJ.
Mengulas lanjut, Suee Lim memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya dan akan menyelesaikan perkara berkenaan secara baik dan berhemah bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk mewajibkan penggunaan kamera badan kepada anggota penguat kuasa PBT, namun ia bergantung kepada kedudukan kewangan semasa, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam memastikan operasi yang lebih lancar. – 9 Disember, 2024