KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Olimpik Nasional (NOC) di Afghanistan yang dipimpin oleh Taliban berminat untuk menjalin hubungan dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan memperbaiki sektor sukan di negara itu.
Bercakap kepada Scoop, Setiausaha Agung NOC Afghanistan Irshadulhaq Sadiqi menekankan mengenai cabaran yang dihadapi oleh jawatankuasanya itu untuk mencapai pengiktirafan global di mana ia belum diakui oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Untuk rekod IOC masih mengiktiraf pentadbiran NOC dari rejim pra-Taliban di Afghanistan.
Pada masa ini, IOC mengakui Hafizullah Wali Rahimi, yang berada dalam buangan, sebagai presiden NOC Afghanistan.
“Kami berada di dalam Afghanistan. Mereka yang berada di luar negara tidak berhubung dengan atlet dan tidak mengetahui masalah yang dihadapi. Jadi tanggungjawab saya sebagai setiausaha agung NOC untuk memperbaiki hubungan dengan masyarakat antarabangsa,” kata Irshadulhaq kepada Scoop.
Dalam lawatan ke Malaysia bulan lepas oleh delegasi Kementerian Pendidikan Taliban, Irshadulhaq mengambil kesempatan untuk bertemu dengan wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Beliau menjelaskan keputusan peribadinya untuk berhubung dengan BWF susulan tugasnya sebelum ini sebagai presiden Persekutuan Badminton Afghanistan (ABF) dan membincangkan masa depan dan cabaran yang dihadapi oleh atlet Afghanistan.
Namun, BWF dalam kenyataannya pada Ogos lalu mengesahkan mereka hanya mengiktiraf pentadbiran ABF yang kini berada dalam buangan.
Selain itu, semasa lawatannya ke Malaysia, Irshadulhaq bertindak dalam kapasiti sebagai bekas ketua hubungan luar bagi Kementerian Pendidikan Afghanistan, satu jawatan yang beliau tidak lagi pegang.
Mengenai penyertaan wanita dalam sukan, Irshadulhaq menjelaskan perkara tersebut berada di bawah dasar nasional, di luar bidang kuasa NOC.
Beliau juga memberitahu, kerajaan Taliban mematuhi ajaran Islam yang menguatkuasakan pengasingan jantina namun penyertaan kaum wanita dalam bidang sukan boleh dilaksanakan jika negara itu membangunkan kemudahan dan infrastruktur sukan yang mematuhi syariah.
“Ia mungkin dan ini adalah sesuatu yang saya minati. Namun tanggungjawab saya adalah menjalin hubungan antarabangsa, saya tidak bertanggungjawab terhadap dasar,” tambahnya.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini melaporkan rejim Taliban telah mengenakan larangan terhadap penyertaan wanita dalam bidang sukan.
Malah, wanita Afghanistan yang bertanding dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris lalu melakukannya sebagai rakyat dalam buangan.
“Harapan saya adalah untuk mengadakan pertemuan mesra dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia bagi memperlajari bagaimana untuk mencapai kejayaan,’’ kata Irshadulhaq.
“Saya juga berharap dapat menghubungkan atlet Afghanistan dengan pemain Malaysia kerana saya percaya perbincangan akan membawa kepada lebih banyak pencapaian. Kami akan gembira untuk menerima lawatan delegasi dari Malaysia ke Afghanistan.” – 8 Disember 2024