KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi jaminan keperluan pelesenan media sosial adalah langkah utama untuk melindungi pengguna.
Anggota Suruhanjaya MCMC, Derek Fernandez menjelaskan polisi ini bukan menyasarkan pengguna media sosial secara langsung, tetapi bagi memastikan platform mematuhi undang-undang tempatan dan melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian.
Keperluan tersebut, jelas Fernandez, berpunca daripada peningkatan kes seksual, pembuli siber dan penipuan dalam talian.
“Saya berpendapat menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman dalam dan luar negara.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapati dasar pendigitalan yang dilaksanakan telah memberikan manfaat yang banyak. Bagaimanapun manfaat berkenaan, yang membantu orang ramai, juga mempunyai beberapa kelemahan, bahaya dan ancaman kepada keselamatan awam,” katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama yang akan diterbitkan pada 30 Disember ini.
Ia diterajui Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan.
Fernandez turut membincangkan mengenai peningkatan dalam kes penipuan, dengan menyentuh mengenai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan dan video deepfake (video, imej dan suara palsu) yang memudahkan pelaku menipu orang ramai sekali gus menimbulkan bahaya.
Walaupun individu yang lebih tua sering dianggap paling ramai terdedah kepada penipuan sedemikian, Fernandez bagaimanapun merujuk kepada kes-kes terkini yang mencabar pandangan ini.
“Terdapat satu kes penipuan yang terkenal di Hong Kong, di mana berjuta-juta dipindahkan akibat panggilan video deepfake. Jadi kita menuju ke peringkat di mana kita tidak boleh percaya apa yang kita dengar dan lihat.
“Orang yang dapat mengeksploitasi teknologi ini boleh meyakinkan seseorang bahawa mereka adalah orang lain dan mempengaruhi individu itu untuk melakukan perkara tertentu,” katanya.
Beliau merujuk kepada insiden pada Februari 2024 di Hong Kong, di mana penipu menggunakan teknologi deepfake untuk menyamar sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat, menyebabkan pemindahan dana organisasi sebanyak HK$200 juta kepada penjenayah.
Kenapa mensasarkan platform media sosial?
Walaupun platform media sosial mempunyai polisi dalaman yang bertujuan melindungi pengguna namun Fernandez menekankan langkah-langkah ini tidak mencukupi.
“Apabila kes penipuan berlaku di media sosial, platform-platform ini – yang sering didaftarkan di luar negara – biasanya lambat untuk memberi respons kepada maklumat yang diminta oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Dengan mewajibkan platform media sosial untuk menunjukkan kehadiran di Malaysia, Fernandez percaya ia akan memudahkan pihak berkuasa bekerjasama dengan syarikat-syarikat tersebut ketika siasatan jenayah siber dijalankan.
“Kenapa seseorang yang kehilangan wangnya (kepada penipuan) tidak mempunyai cara untuk mendapatkannya semula? Dalam dunia normal, orang itu sepatutnya boleh menyaman platform.
“Jika kita mempunyai undang-undang di mana setiap kali anda ditipu dan jika platform tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah, anda akan mendapat pampasan maka itu akan membantu melindungi pengguna. Jadi saya rasa perlindungan pengguna adalah apa yang kita bincangkan,” sambungnya.
Fernandez turut menekankan bahawa peraturan tempatan boleh membantu menangani isu seperti pembulian dalam talian. Beliau merujuk kepada kes tragis pempengaruh TikTok Rajeshwary Appahu, yang meninggal dunia akibat bunuh diri pada 5 Julai berpunca dari buli siber. Salah seorang pelaku, Shalini Periasamy, hanya didenda RM100 di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Hukuman itu tidak mencukupi. Keperluan pelesenan dan pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) boleh mencegah situasi sebegini daripada berulang,” ujarnya.
Fernandez turut menjelaskan untuk membolehkan pendakwaan berjaya, pihak berkuasa memerlukan bukti, dan kadang-kadang platform digital gagal menyediakannya.
“Jadi untuk menyokong pertuduhan, mereka (pendakwa) memerlukan bukti. Kita tidak tahu sama ada penstriman langsung yang berlaku (semasa pembulian siber terhadap Rajeshwary) telah disimpan atau dirakam.
“Garis panduan baharu yang akan dikeluarkan oleh MCMC akan mewajibkan platform untuk menyimpan data, sekurang-kurangnya untuk tempoh tertentu, dan jika terdapat penyiasatan polis, data itu perlu disimpan,’’ katanya.
Keperluan pelesenan media sosial yang baru dijangka berkuatkuasa pada 1 Januari 2025.
Peraturan ini akan terpakai hanya kepada platform media sosial dan pemesejan dengan lebih 8 juta pengguna. – 29 November, 2024