KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memohon Perdana Menteri menukar Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kepada individu lain yang lebih layak seperti Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu menyifatkan King Sing tidak memahami sensitiviti rakyat selain tidak mampu berbahasa Melayu dengan baik.
“Kamu yang keluarkan kenyataan yang berbaur perkauman lepas tu nak salahkan orang lain yang perkauman pula. Tuduh saya memalukan parti saya apabila lawan apa yang kamu katakan?
“Hey menteri, kau tu yang memalukan negara jadi menteri pun masih tidak boleh faham sensitiviti rakyat Malaysia dan berbahasa Melayu dengan baik. Level apa menteri ni?”
“Saya mohon YAB PMX tukarlah menteri ni kepada orang yang jauh lebih layak, baik lagi ambil MP Jelutong jadi menteri perlanconganlah!” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Sebelum ini Akmal pernah membuat desakan sama supaya Menteri Pelancongan itu digantikan pada Februari lalu susulan isu bak kut teh.
Terdahulu, King Sing dalam kenyataan semalam menyelar Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, kerana dilihat selalu memainkan sentimen perkauman sehingga menjejaskan keharmonian serta kestabilan pada setiap masa.
“Untuk Akmal, saya ingin tahu apa yang telah beliau lakukan untuk Melaka sebagai Exco. Jangan terus mencetuskan isu perkauman seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.
“kenyataan dikeluarkan Akmal hanya memalukan Umno dan boleh menimbulkan ketegangan antara rakyat, seterusnya menjejaskan kestabilan politik dan pembangunan negara,” katanya.
Dalam pada itu Akmal turut mencabar King Sing untuk berdebat mengenai isu papan tanda sekiranya menteri itu masih tidak jelas dengan kerja yang telah beliau laksanakan di Melaka.
“Ini antara yang saya senaraikan dahulu untuk menteri baca, kalau nak senaraikan semua takut menteri jadi pening,
“Kalau nak tahu lebih lanjut, menteri boleh datang ke Melaka jumpa dengan saya atau pun jumpa dengan rakyat Melaka atau pun jika menteri terlalu malas, boleh sahaja tengok di media sosial apa yang telah saya lakukan sepanjang tiga tahun menjadi Exco.
“Kalau nak lebih baik, saya cabar menteri untuk kita berdebat secara terbuka tentang kenyataan menteri terhadap papan tanda boleh?,” katanya.
Akmal turut menyenaraikan Melaka menjadi negeri pertama mempunyai perkhidmatan close care to u, perkhidmatan penjagaan luka dan tukar tiub makanan di rumah secara percuma untuk rakyat B40 yang terlantar sakit.
Selain menjadi antara negeri pertama yang menawarkan ambulans percuma kepada golongan b40. – 27 November, 2024