Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
LTAT terlalu bergantung pada Boustead: PAC | Scoop

LTAT terlalu bergantung pada Boustead: PAC

LTAT terlalu bergantung pada pendapatan dan prestasi Boustead, sekali gus menyebabkan pendedahan LTAT yang berlebihan kepada syarikat ini

2:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Struktur syarikat Boustead Holdings sebagai syarikat pengantara antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan syarikat-syarikat yang menjana keuntungan perlu dirombak semula, dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang berlaku di bawah pengawasan Boustead.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata LTAT sebagai pemilik penuh Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan serta objektif LTAT, bukan sebaliknya.

“PAC ingin menarik perhatian kepada kedudukan Boustead Holdings di mana LTAT terlalu bergantung pada pendapatan dan prestasi syarikat sekali gus menyebabkan pendedahan LTAT yang berlebihan kepada syarikat ini.

“Penstrukturan semula Boustead Holdings bagi membolehkan LTAT menjadi pemilik terus anak-anak syarikat yang terlibat dalam pelbagai industri bukan perkara baru.

“Penstrukturan yang sama sudah dilaksanakan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebelum ini ke atas syarikat Sime Darby Berhad (SDB), yang menghasilkan pemilikan terus PNB ke atas anak-anak syarikat SDB yang terlibat dalam sektor perladangan, hartanah dan industri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, keputusan Kementerian Pertahanan (Mindef) menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah dilaksanakan di bawah pengurusan LTAT membantutkan perjalanan transformasi lembaga berkenaan.

Selain itu, katanya, berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan untuk merangka semula pelan penstrukturan Boustead Holdings dibuat setelah mendapat pandangan pengurusan syarikat itu, bukan pengurusan LTAT.

PAC sebelum ini menyiasat penjejasan nilai yang tidak dilakukan terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari LTAT dan rizab pendapatan Komprehensif Lain LTAT yang berbaki negatif.

Laporan kajian itu turut meliputi pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai bagi 2021 dan 2022.

Sehubungan itu, PAC mengesyorkan tiga perkara bagi menambahbaik LTAT, iaitu membuat pembayaran dividen berdasarkan kepada keuntungan sebenar dan perlu mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengelakkan sebarang risiko.

“LTAT seharusnya membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar (realised gain) dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti yang dilakukan pada 2021 dan 2022.

“LTAT juga seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum,” katanya.

Mindef dan LTAT juga perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan hala tuju LTAT sebelum akhir tahun ini.

Selain itu, PAC juga meminta Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan terperinci terhadap Boustead daripada segi kewangan dan tatakelola Boustead pada tahun hadapan di bawah Akta Audit (Pindaan) 2024 (Akta A1720).

“PAC memberikan tempoh selama dua bulan kepada MINDEF dan LTAT sebelum dipanggil semula untuk prosiding tindakan susulan bagi membolehkan jawatankuasa ini (PAC) mengetahui tindakan yang telah diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.

“Di dalam prosiding tindakan susulan tersebut, PAC turut meminta supaya LTAT membentangkan Pelan Strategik LTAT khususnya untuk memastikan daya tahan dan kelangsungan serta kelestarian LTAT,” katanya.

Terdahulu, pengurusan LTAT disiasat PAC berhubung isu rizab LTAT berbaki negatif selepas pendedahan dibuat Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pada Mac lalu. – 19 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related