KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin disifatkan sebagai individu yang tidak menyimpan dendam kepada pihak yang menolak usahanya.
Dalam kenyataan hari ini, keluarga Daim berkata, Allahyarham sentiasa memaafkan dan sanggup memikul beban konflik dengan tenang seiring perwatakannya.
“Kepada mereka yang menolak usahanya, Allahyarham tidak menyimpan dendam; beliau memaafkan tanpa kata-kata.
“..dan sanggup memikul beban konflik dengan perasaan tenang dan kasih sayang yang selama ini mencorakkan wataknya, sambil menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakiminya.
“Kami sekeluarga memanjatkan syukur kerana diberikan peluang bersamanya. Walaupun kehilangannya tiada ganti, legasi yang ditinggalkannya memberikan kami ketenangan.
“Dalam meratapi kehilangannya, kami meraikan kehidupannya dan bagaimana beliau menyentuh kehidupan orang di sekelilingnya. Semoga legasi beliau memberi inspirasi kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Kami dengan penuh tawadduk memanjatkan doa agar Allahyarham dikenang dan dihormati dalam cara yang sama beliau menjalani kehidupannya — secara tenang dan bermaruah,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah sehinggalah ke persada dunia diwarnai dengan jasa yang dicurahkan serta semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara tercinta.
“Beliau mengabdikan hidup ke arah matlamat memaju, membangun dan memperkasakan ekonomi Malaysia kerana baginya, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa, tetapi usaha gigih tanpa mengharapkan balasan.
“Apa yang paling utama, prinsip arwah dalam hidup iaitu iman mendalam kepada Allah SWT. Sebutan yang tak pernah tinggal adalah syukur dan di sebalik kejayaan di dunia, beliau yakin ganjaran diterimanya disebabkan keimanan kepada Maha Esa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Daim meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya pada pagi Rabu lalu di usia 86 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 kira-kira jam 6.06 petang.
Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin dilahirkan pada 29 April 1938 dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali.
Kali pertama adalah dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau kemudian kembali berkhidmat untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir bagi menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Keluarga Daim memaklumkan, arwah jarang membahas atau mengungkit jasanya kepada orang lain kerana beliau yakin nilai sebenar kehidupan bukan terletak kepada apa yang dimiliki, tetapi apa yang disumbangkan.
Tambah kenyataan terbabit, Daim meletakkan setinggi-tinggi kepercayaan buat anak muda kerana golongan berkenaan merupakan penentu kecemerlangan masa depan dan harapan negara.
“Beliau menyedari cabaran mendatang, namun tetap percaya anak muda boleh mengatasinya. Walaupun jalan menuju Malaysia yang lebih baik penuh ranjau, tetapi percayalah ia berbaloi untuk diharungi,” katanya.
Justeru, keluarga Daim mengucapkan terima kasih buat ahli keluarga, sahabat handai, kenalan dari seluruh dunia dan rakyat Malaysia yang sudi meluangkan masa bagi memberikan penghormatan terakhir. – 18 November, 2024