Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Wee Ka Siong kemuka bukti, Rafizi sendiri maklumkan kos Padu RM85.27 juta | Scoop

Wee Ka Siong kemuka bukti, Rafizi sendiri maklumkan kos Padu RM85.27 juta

Wee Ka Siong berkata dalam dua jawapan bertulis di Dewan Rakyat, angka yang diberikan bagi kos pembangunan Padu adalah RM85.27 juta

7:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kos untuk pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkala Data Utama (Padu) sebanyak RM85.27 juta telah dimasukkan dalam rekod Parlimen sebanyak dua kali, kata Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam yang juga Presiden MCA itu, ia direkodkan dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN- Rantau Panjang) pada 1 Julai lalu yang ingin mengetahui kos yang terlibat.

Jumlah yang sama, katanya turut diberikan dalam jawapan bertulis kepada Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada 11 Julai lalu yang ingin tahu perbelanjaan kerajaan bagi menjayakan Padu.

Menurut Ka Siong, jawapan itu datangnya dari Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sendiri dan kini tercatat sebagai Penyata Rasmi.

“Sekali lagi, jawapan yang sama diterima ialah RM85.27 juta,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, Rafizi menafikan kos pembangunan Padu adalah RM85 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata perbelanjaan sebenar hanya mencecah RM31 juta setakat September lalu.

“Jumlah itu merangkumi pembelian perkakasan ICT seperti pelayan tembok api keselamatan rangkaian dan perkakasan komputer bernilai RM190,000, perisian ICT (RM4.6 juta), pengkomputeran awan dan pengujian sistem (RM6.4 juta).

“Yang mahal itu operasi pendaftaran pengguna yang kita terpaksa menggajikan kakitangan MySTEP untuk digerakkan ke seluruh negara untuk jaga kaunter pendaftaran dan masuk kampung, ini nilainya RM19.3 juta,” kata Rafizi.

Ka Siong turut mempersoalkan kenapa selepas empat bulan berlalu, Rafizi tidak membetulkan angka RM85.27 juta sekiranya dirasakan angka yang diberikan kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Bakri tidak betul.

“Apa yang lebih tak masuk akal ialah Rafizi menuduh saya membuat kenyataan tidak benar apabila menggunakan angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan Padu.

“Sekarang nak salahkan pegawai pula? Kamu sebagai Menteri tak semak dan teliti dalam kerja ke? Kenapa dengan mudah kamu salahkan orang lain?

“Selepas ini, nak salahkan media pula sebab nyatakan angka RM85.27 juta? Suara Keadilan pun melaporkan perkara sama, adakah Rafizi akan salahkan mereka juga,’’ soalnya.

Menurut Ka Siong, jika tersilap Rafizi sepatutnya mengaku malah ia tidak akan menjatuhkan statusnya jawatannya sebagai Menteri.

“Saya tidak hairan jika Rafizi menganggap dirinya sebagai seorang insan yang terpaling cerdik di dunia, tetapi janganlah menganggap rakyat termasuk saya ini bodoh,’’ ujarnya,’’ katanya, – 8 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related