KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan sejak 2018 hingga tahun lalu dalam siasatan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang, FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan siasatan setakat ini, pasukannya merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya hari ini.
Beliau berkata, SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Selain itu beliau berkata, SPRM juga tidak akan menahan pasangan terbabit buat masa ini memandangkan mereka memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
Katanya lagi, setakat ini SPRM sudah merampas sejumlah 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Terdahulu, pasangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Memasuki hari ketiga hari ini, pasangan terbabit tiba ke SPRM pada jam 2.34 petang, namun tidak sampai dua jam kemudian, Vivy dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM pada jam 4 petang dengan hanya ditemani peguamnya, Shaarvin Raaj Selva Kumar serta diiringi seorang pegawai SPRM.
Difahamkan, Vivy kembali semula ke ibu pejabat SPRM sekitar jam 8 malam tadi untuk disambung keterangan dan berakhir 10.30 malam. Mereka akan menyambung proses merakam keterangan esok pagi.
Sebelum ini sumber memberitahu, SPRM turut membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik suami isteri pengasas platform e-dagang fashion valet bernilai kira-kira RM1.1 juta.
“Sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi ‘Op Favish’ telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri ini bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan,’’ katanya.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) pada Disember ini.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, prosiding yang dijangka bermula pada minggu kedua Disember itu akan memanggil Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menjelaskan mengenai pelaburan berkenaan.
“PAC akan memulakan prosiding berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB terhadap sebuah perniagaan fesyen dalam talian tempatan FashionValet melibatkan kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta dengan memanggil Khazanah dan PNB.
Pada Rabu, SPRM telah membongkar kediaman pasangan Vivy Fadzarudin di Mont Kiara, di sini.
Antara barangan yang disita di kediaman tersebut termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Isu kerugian tersebut mencetuskan kemarahan ramai selepas Kementerian Kewangan menerusi jawapan bertulis di Parlimen, baru-baru ini mendedahkan Khazanah dan PNB menjual pegangan RM47 juta dalam FashionValet hanya untuk RM3.1 juta.
Menurut Kementerian Kewangan, penjualan tersebut merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada FashionValet kepada pelabur strategik. – 7 November, 2024