Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
‘Menteri Komunikasi tidak jawab sepenuhnya soalan saya mengenai pemilihan U Mobile’ luah Wan Saiful | Scoop

‘Menteri Komunikasi tidak jawab sepenuhnya soalan saya mengenai pemilihan U Mobile’ luah Wan Saiful

Beliau mempersoalkan kenapa kriteria pemilihan tidak didedahkan terlebih awal sebelum ini

7:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan menyifatkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menjawab sepenuhnya soalan beliau mengenai pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara di Dewan Rakyat pagi ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Wan Saiful (PN-Tasek Gelugor) turut menyatakan jika sebelum ini isu mengenai BlackRock, kini spekrum 5G pula.

“Pagi tadi, Menteri Komunikasi tidak menjawab sepenuhnya soalan-soalan yang saya kemukakan dalam Dewan Rakyat mengenai pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.

Sebelum ini sudah ada isu Blackrock. Sekarang kita berhadapan dengan spektrum 5G pula. Apa lagi selepas ini?,’’ soalnya.

Menerusi klip video yang dimuatnaik dalam Facebooknya, Wan Saiful bertanyakan soalan kepada Fahmi mengenai isu melibatkan U Mobile pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mempersoalkan kenapa kriteria pemilihan tidak didedahkan terlebih awal sebelum ini.

Selain itu, Wan Saiful juga ingin mengetahui sama ada terdapat konflik kepentingan kerana U Mobile memiliki pegangan dalam DNB dengan wakilnya menduduki lembaga pengarah DNB.

“DNB syarikat milik kerajaan, milik rakyat, tapi kerajaan buka DNB kepada pesaing dan hari ini ada wakil dari U Mobile duduk dalam lembaga pengarah DNB. Mohon maaf kalau saya silap.

“Wakil ini menjadi pengerusi lembaga perolehan atau jawatankuasa tender dalam DNB, ini adalah satu cara bolehkan U Mobile ada maklumat sensitif tentang DNB. U Mobile akan keluar dari DNB dan bersaing dengan DNB,’’ katanya.

Selain itu, Wan Saiful turut mempersoalkan mengenai pemilikan asing dalam U Mobile.

Dalam pada itu, menjawab soalan mengenai wakil daripada U Mobile dalam lembaga pengarah DNB, Fahmi berkata sebahagian syarat yang ditetapkan adalah rangkaian mudah alih (MNO) perlu memegang saham dalam DNB.

“Pegangan saham ini juga akan diterjemah menjadi sejumlah kerusi dalam lembaga pengarah…jadi dari segi tatakelola, aspek pegangan saham dan juga ‘corporate governance’ tidak ada kesalahan dari segi itu,” katanya.

Fahmi turut menegaskan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) telah mempertimbangkan pelbagai faktor pemilihan termasuk rancangan perniagaan dan teknikal U Mobile, rekod aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.

“U Mobile memaklumkan (kepada kementerian) bahawa mereka telah berhubung dengan Digital Nasional Bhd (DNB) untuk memastikan pengguna 5G semasa tidak menghadapi masalah pada masa hadapan (dengan pelancaran rangkaian 5G kedua).

“Saya percaya jika kedua-dua entiti mempunyai objektif bersama untuk membangunkan rangkaian (kedua) yang kompeten dan kompetitif, rakyat dan perusahaan secara keseluruhan akan mendapat manfaat. Ini adalah fokus kerajaan,” kata Fahmi. – 7 November 2024

Topics

 

Hangat

Related