Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Tubuh RCI siasat kes FashionValet, Nafas: Akmal | Scoop

Tubuh RCI siasat kes FashionValet, Nafas: Akmal

'Untung rugi syarikat adalah perkara biasa tetapi jika dana itu datangnya daripada dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam juga', kata Akmal

1:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno hari ini mencadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berlaku ketirisan dalam kes membabitkan Fashion Valet Sdn Bhd (FashionValet) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, siasatan telus perlu dilakukan dan sebarang penemuannya perlu dibentangkan kepada awam supaya ia menjadi pengajaran pada masa akan datang.

“Untung rugi syarikat adalah perkara biasa tetapi jika dana itu datangnya daripada dana awam, maka satu siasatan yang telus perlu dilakukan dan dibentangkan kepada awam juga.

“Maka kami cadangkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat ditubuhkan untuk menyiasat dua perkara yang menjadi polemik negara ini,” katanya di Facebooknya hari ini.

Beliau turut menegaskan pihak yang bertanggungjawab tidak wajar dilepaskan begitu sahaja berikutan ia membabitkan wang rakyat.

“Sama ada FashionValet ataupun Nafas, jika ada salah laku yang wujud maka jangan biarkan waima seorang pun terlepas dari kartel-kartel yang menelan duit rakyat ini,” katanya.

Akmal turut menyatakan penghargaan atas pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dua isu ini, khususnya gesaan supaya siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.

Beliau berkata, siasatan itu penting kerana ia melibatkan penggunaan dana awam dan menjadi isu berkepentingan awam.

SPRM juga sebelum ini mendedahkan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan yang dianggar bernilai RM1.8 bilion. – 3 November, 2024

Topics

 

Hangat

Related