Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kos rawatan perubatan antara dicadangkan dalam RUU berkaitan pekerja gig, kata Zahid | Scoop

Kos rawatan perubatan antara dicadangkan dalam RUU berkaitan pekerja gig, kata Zahid

Meskipun cadangan kos rawatan dan perubatan itu akan memberikan implikasi kewangan, namun kerajaan perlu mengambil peduli nasib pekerja gig

7:08 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kos rawatan dan perubatan pekerja gig ekonomi dicadangkan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2024 yang akan dibentangkan di Parlimen, pada Disember ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, meskipun ia akan memberikan implikasi kewangan, namun kerajaan perlu mengambil peduli mengenai nasib pekerja gig, selain caruman dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Saya cadangkan agar kos rawatan dan perubatan dimasukkan walaupun kita tahu akan beri implikasi kewangan tetapi kita (kerajaan) kena ambil peduli.

“Kita akan bincang secara terperinci dengan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), Kementerian Kewangan (MOF) dan sekretariat sendiri untuk beri beberapa input,’’ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Terdahulu, Scoop melaporkan RUU yang memberikan perlindungan kepada pekerja gig sama ada sepenuh atau separa masa, dijangka dibentangkan di Parlimen untuk bacaan kali pertama pada 10 Disember ini.

Sumber memberitahu Scoop, RUU itu akan mengambil kira aspek perlindungan, malah pekerja separa masa akan turut menikmati perlindungan kewangan serta fidusiari, seperti yang termaktub dalam Akta Pekerja.

RUU Pekerja Gig 2024 itu akan dibentang oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan dijangka diwartakan menjadi undang-undang pada pertengahan tahun hadapan.

Empat perkara asas diberikan perhatian dalam RUU ini iaitu definisi pekerja gig, pampasan asas, perlindungan keselamatan sosial dan penyelesaian pertikaian menerusi Tribunal Pekerja Gig.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, perlindungan keselamatan yang termaktub dalam akta itu nanti tidak hanya melibatkan tempoh waktu bekerja semata-mata, sebaliknya perlindungan tersebut bergerak selama 24 jam bagi melindungi keselamatan dan hak sosial pekerja sektor gig.

Menurutnya, kebimbangan disuarakan golongan pekerja gig diambil peduli kerana rata-rata meminta perlindungan yang dapat menjamin kelangsungan hidup pada masa hadapan.

“Inilah permintaan daripada pekerja gig, mereka (kebanyakan) berusia di antara 19 hingga 34 tahun, suatu masa nanti mereka akan mencapai umur tinggi (persaraan).

“Mereka perlukan perlindungan dan jika tiada perlindungan ini akan mengecewakan mereka.

“Jadi, sebagai negara yang ambil peduli, (akta) ini akan meliputi waktu di luar bekerja juga,” katanya. – 28 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related