KUALA LUMPUR – Sindiran Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Perdana Menteri kerana tidak mengambil gaji daripada jawatan yang disandangnya, sebenarnya turut ditujukan kepada guru-guru Pusat Tunas Asuhan Islam (Pasti) dan pekerja parti itu.
Bekas pemimpin PAS, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali secara sinis turut menyatakan barangkali guru Pasti juga adalah ‘malaikat’ kerana tidak diberi gaji dan elaun.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno itu berkata, pekerja parti di pejabat PAS juga mungkin boleh dianggap malaikat kerana menerima gaji kecil antara RM400 hingga RM500 sahaja sebulan.
“Datuk Tuan Ibrahim menyindir Perdana Menteri kerana tidak mengambil gaji sebagai PM dengan alasan Rasul pun mengambil peruntukan yang Allah sediakan. Katanya PM ini malaikat agaknya.
“Barangkali itu bertujuan menjadi dalil untuk pimpinan PAS mengambil gaji dan elaun sebagai menteri, menteri besar, ahli parlimen, exco dan pengerusi syarikat berkait kerajaan (GLC).
“Jadi kalau begitu, pimpinan PAS perlu kasihankan pekerja-pekerja parti seperti Pasti yang tidak diberi gaji dan elaun kerana mereka diumumkan oleh pemuda PAS sebagai sukarelawan tanpa reda mereka.
“Guru-guru Pasti ini malaikat barangkali yang tidak makan dan minum, tidak ada rumah dan tiada kenderaan hanya terbang dengan sayap.
“Begitu juga pekerja parti di pejabat PAS yang menerima gaji kecil 4,5 ratus sahaja sebulan. Mereka juga malaikat barangkali,” katanya di Facebook hari ini.
Semalam ketika perbahasan Bajet 2025 di Dewan Rakyat, Tuan Ibrahim membangkitkan persoalan bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh pendapatan jika beliau tidak mengambil sebarang gaji daripada jawatan yang disandangnya.
Dalam nada berseloroh, Tuan Ibrahim berkata, seorang Rasul pun diberikan “peruntukan” oleh Allah SWT untuk rezekinya.
Khairuddin berkata, ia sebenarnya sindiran pada guru-guru Pasti dan pekerja parti yang atas nama perjuangan mengorbankan gaji mereka.
“Mereka ini yang disindir oleh Tuan Ibrahim. Guru Pasti tak terasa ke? Saya pun terasa juga kerana sukarela menjadi Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri tanpa gaji,” katanya. – 22 Oktober, 2024