Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pahang fatwa ajaran GISB sesat, selepas Perlis dan Selangor | Scoop

Pahang fatwa ajaran GISB sesat, selepas Perlis dan Selangor

Mufti Pahang, Profesor Datuk Asmadi Mohamed Naim berkata pihaknya juga sudah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas fatwa itu diputuskan jawatankuasa berkenaan

3:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pahang menjadi negeri ketiga selepas Perlis dan Selangor memfatwakan fahaman yang dibawa Global Ikhwan Services & Holding (GISB) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Asmadi Mohamed Naim berkata Jabatan Mufti Pahang menerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri memfatwakan perkara itu kepada pengikut yang meneruskan fahaman Aurad Muhammadiah yang dibawa gerakan Al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994.

Menurut Asmadi, pihaknya juga sudah mendapat perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas fatwa itu diputuskan jawatankuasa berkenaan yang bersidang Rabu lalu.

“Pengikut-pengikut dari Global Ikhwan Service and Business Holdings, sama ada pekerja yang beragama Islam, atau mana-mana orang Islam adalah menyeleweng dan sesat apabila mempercayai Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada 2010 tidak mati, sebaliknya ghaib.

“Keputusan ini meliputi apa-apa versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran-ajaran tersebut di atas dan termasuklah apa-apa pegangan, ideologi, falsafah, atau mana-mana kumpulan yang telah wujud atau akan diwujudkan.

“Sistem ekonomi yang dibangunkan oleh pengikut GISB tidak diiktiraf sebagai ekonomi Islam dan tidak menepati syarak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Asmadi Mohamed Naim berkata, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri memfatwakan perkara itu kepada pengikut yang meneruskan fahaman Aurad Muhammadiah yang dibawa gerakan Al-Arqam yang telah diwartakan sesat dan menyeleweng pada 1994. – Gambar media sosial, 5 Oktober, 2024

Sementara itu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) sudah membuat keputusan berkenaan ‘pandangan hukum’ terhadap fahaman GISB.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang diadakan pada 23 dan 24 September lalu.

“Keputusan pandangan hukum yang telah diperolehi berdasarkan kertas cadangan yang dibentangkan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin berkaitan GISB ini telah diputuskan di peringkat jawatankuasa muzakarah MKI.

“Saya tidak boleh umumkan di sini, nanti kita akan bawa ke Majlis Raja-raja pada 23 dan 24 Oktober ini, jadi Majlis Raja-raja yang akan beri perkenan kepada pandangan hukum tersebut.

“Setelah Majlis Raja-raja berikan perkenan kepada pandangan hukum terbabit dan negeri-negeri akan bawa pandangan hukum tersebut kepada jawatankuasa fatwa negeri yang dipengerusikan oleh mufti negeri tersebut,” katanya kepada pemberita.

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Sementara Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 19 September lalu memutuskan bahawa fahaman yang didukung GISB mengandungi unsur ajaran sesat, khususnya daripada segi batiniah. – 5 Oktober, 2024

Topics

 

Hangat

Related