Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Sijil Halal: Keputusan tertakluk pada Majlis Raja-Raja, kata Zahid | Scoop

Sijil Halal: Keputusan tertakluk pada Majlis Raja-Raja, kata Zahid

Justeru Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya semua pihak tidak menjadikan isu itu sebagai satu polemik kerana ia masih di peringkat kajian

12:53 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan mengenai kajian berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal kepada semua restoran dan syarikat pengendali makanan adalah tertakluk di bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

Justeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta supaya semua pihak tidak menjadikan isu itu sebagai satu polemik kerana ia masih di peringkat kajian dan belum menjadi dasar yang tetap.

“Lagipun, soal hal ehwal agama ini termasuk isu halal, adalah di bawah kuasa Majlis Raja-Raja, Jika kajian mendapati (perlu) mewajibkan atau tidak mewajibkan, kita serahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Jika kajian ini dibawa ke Kabinet, kita berpandukan nasihat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya perkara ini tidak dijadikan polemik,’’ katanya yang dipetik dari laporan Bernama.

Beliau berkata demikian media Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja ke China, hari ini.

Pada sidang media itu, Zahid berkata, meskipun beliau adalah Pengerusi Majlis Halal Malaysia, namun beliau sudah tentu mengambil tindakan yang berhati-hati dalam menentukan dapatan terhadap kajian itu.

Semalam, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu tersebut dan langkah seterusnya pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Mohd Na’im, baru-baru ini dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Ia menjadi kontroversi selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Mengulas lanjut, Zahid berkata proses mendapatkan sijil halal memerlukan pemohon untuk memenuhi syarat yang ditetapkan supaya proses permohonan berjalan lancar dan tidak terganggu.

Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menuduh Jakim ‘lambat’ dalam mengeluarkan sijil halal.

“Dulu ambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Malaysia dan Jakim, tempoh dipendekkan kepada 23 hari bekerja, dan kini dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja dari tarikh permohonan dikemukakan.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, dan sebelum itu, kita juga akan memanggil semua bakal pemohon ke suatu majlis libat urus Jakim untuk memberitahu tentang syarat yang perlu dipatuhi bagi memudahkan proses kelulusan,” katanya. – 12 September, 2024

Topics

 

Hangat

Related