KUALA LUMPUR – Ada kalangan rakyat di akar umbi yang mula membicarakan mengenai peningkatan ‘royal activism’ atau komen dalam kalangan institusi diraja yang menyentuh situasi semasa negara termasuk keadaan politik.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada pandangan dilontarkan berkait ‘royal activism’ itu menjurus kepada maksud positif atau negatif.
“Ada beberapa orang yang tanya kepada saya beberapa minggu lepas, adakah saya rasa ‘royal activism’ semakin meningkat?
“Saya bimbang sikit nak jawab ya atau tidak, saya pun tidak faham apa dimaksudkannya sebagai ‘royal activism’.
“Tapi mungkin soalan itu timbul sebab dia melihat banyak komen-komen yang diberikan keluarga diraja tentang situasi semasa terutama keadaan politik dalam negara.
“Saya tidak pasti dia tanya itu secara positif atau negatif, cuma apa yang nak saya sebut, di akar umbi sekarang, dalam kalangan rakyat sekarang, perkara ini dibincangkan,” katanya.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyatakan pandangan beliau ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama, baru-baru ini.
Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Ditanya adakah beliau sendiri turut mengambil berat soal ‘royal activism’ atau komen istana dalam urusan harian mentadbir negara, Wan Saiful berkata itu adalah perkara normal dan tidak melihatnya sebagai luar kebiasaan.
“Bagi saya macam ini, bila Istana memanggil menghadap ahli perkhidmatan awam untuk penjelasan, itu adalah tanda mereka tidak percaya ahli politik yang mereka temui.
“Saya pun tidak percaya eksekutif yang ada hari ini dan saya gembira apabila instiusi raja memainkan peranan mereka bagi memastikan mereka mendapat makluman mengenai situasi sebenar dalam negara.
“Daripada bergantung kepada ahli politik yang tidak kompeten yang memegang jawatan dalam kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, apa yang diminta atau dikehendaki Perlembagaan ialah Malaysia yang mengamalkan Raja Berpelembagaan dan itu yang sepatutnya.
“Dalam Perlembagaan kita, menyatakan Malaysia ini mengamalkan Raja Berpelembagaan, jadi raja-raja ada peranannya, yang kita hormat dan dukung, eksekutif ada peranannya dan rakyat pun ada peranan.
“Kita kena wujudkan suasana bahawa pihak eksekutif berfungsi dengan baik dan berkesan, rakyat pula adalah rakyat yang bermaklumat, jadi semua orang tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam sebuah negara Malaysia.
“Bagi saya, Perlembagaan kita cantik dah, mengatakan bahawa kita ada beberapa komponen berbeza dalam kerajaan, kita ada judiciary, kita ada eksekutif dan kita ada juga Raja-Raja Melayu, jika kita dapat seimbangkan, kita boleh terus maju ke hadapan,” katanya. – 4 September, 2024