KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan parti Bersatu menjadi sasaran dan pemimpinnya dikenakan tindakan undang-undang termasuk beliau sendiri.
Justeru beliau mempersoalkan mengenai parti lain iaitu Umno yang tidak dikenakan tindakan sama.
“Kita fikir secara logik, adakah anda percaya orang Umno sekarang adalah bersih sebersihnya dan boleh digunakan tanpa was-was? Adakah anda percayakannya?,’’ soal beliau.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menyatakan pandangan beliau ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop, Trick Lama, baru-baru ini.
Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Wan Saiful juga berkata, meskipun banyak pihak yang menyatakan sudah tiba masanya Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur sebagai presiden Bersatu dan membiarkan pemimpin muda mengambil alih, namun beliau berfikir sebaliknya.
Muhyiddin, katanya, perlu ada untuk mengetuai peralihan dalam Bersatu dan itu yang sedang dilakukannya.
“Beliau sudah umum siapa akan dicalonkan sebagai Timbalan dan Naib Presiden pada pemilihan parti yang akan datang dan itu melambangkan keterbukaan Muhyiddin bagi memastikan peralihan itu berjalan secara lancar,’’ katanya.
Ia antara isu panas yang dibincangkan menerusi podcast Scoop, Trick Lama, baru-baru ini. – 3 September, 2024