Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
'Jangan heret Institusi Raja dengan tohmahan, fitnah politik' tegas Sultan Selangor | Scoop

‘Jangan heret Institusi Raja dengan tohmahan, fitnah politik’ tegas Sultan Selangor

'Beta sering menasihati pemimpin dan ahli-ahli politik untuk mengelak dari mencetuskan politik kebencian namun budaya negatif ini masih diamalkan oleh sebahagian mereka' : Sultan Selangor

2:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan Institusi Raja tidak sepatutnya diheret dengan tohmahan dan fitnah berkaitan isu-isu politik.

Titah baginda, Institusi Raja adalah ‘above politics’ (di atas politik) justeru sebarang bentuk teguran dan kritikan terhadap pemerintah dan Institusi Raja seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul serta secara berhemah.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama bertanggung jawab mengharmonikan dan menyuburkan perpaduan rakyat tanpa perlu meracuni fikiran rakyat dengan unsur-unsur negatif terutama isu 3R (kaum, agama dan raja) dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

“Beta sering menasihati pemimpin dan ahli-ahli politik untuk mengelak dari mencetuskan politik kebencian.

“Namun budaya negatif ini masih diamalkan oleh sebahagian daripada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli politik.

“Bagaimanapun Beta tidak akan jemu untuk terus menasihati seluruh rakyat agar sentiasa memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat.

“Segala perbezaan antara kaum, agama dan fahaman politik janganlah dijadikan penghalang bagi rakyat Malaysia memberikan taat setia kepada negara,’’ titah baginda sempena Hari Kebangsaan 2024, di sini hari ini.

Kemerdekaan, titah Sultan Selangor, bukan sekadar bebas dari cengkaman penjajahan dan laungan slogan ‘Merdeka’ semata-mata sebaliknya ia memerlukan pengorbanan jiwa serta minda.

“Negara memerlukan rakyatnya yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama untuk bersama bersemangat membentuk sebuah masyarakat yang teguh dan harmoni berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara,’’ titah baginda.

Bagi generasi muda, mereka perlu bijak dalam mendepani dan menyelesaikan segala permaslahan serta cabaran.

Sultan Selangor turut mengingatkan semangat patriotik, toleransi dan saling hormat-menghormati perlu terus diterapkan ke jiwa generasi muda dan dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu, keharmonian yang utuh serta bebas dari sebarang elemen negatif.

“Beta yakin dengan penghayatan tentang erti sebenar kemerdekaan ini akan dapat menyuburkan kembali semangat cinta kepada negara demi membentuk sebuah negara yang maju dan progresif,’’ titah baginda. – 30 Ogos, 2024

Topics

 

Hangat

Related