KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) seharusnya menjadi medan bagi parti politik menawarkan polisi lebih baik untuk Malaysia, bukannya merangka gerakan untuk menjatuhkan mana-mana pihak.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan suasana politik pada masa ini sudah berubah dan boleh disifatkan penuh dengan ‘ketidaktentuan’ termasuk dalam kerjasama dan gabungan antara parti politik.
“Saya harap PRU-16 menjadi medan pertarungan siapa yang boleh menawarkan polisi dan dasar yang lebih baik untuk Malaysia
“Jadi PRU16 (dijangka) berbeza, dulu lebih kepada (agenda) hendak jatuhkan orang dan itu dah tercapai pada masa itu dan ia mewujudkan demokrasi yang lebih vibrant di Malaysia, yang mana itu bagus dan perlu berlaku.
“(Tapi) ada ketidakpastian pula, kita tengok pengalaman Indonesia selepas parti tunggal mendomonasi jatuh, mereka ambil masa 15 hingga 20 tahun untuk sampai era Jokowi sekarang ini.
“Kita baru berapa tahun (selepas dominasi Barisan Nasional), rileks dulu, tapi kita harap tawaran dalam pilihan raya selepas ini bukan untuk menjatuhkan orang tapi hendak buat lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya ketika menjadi tetamu dalam podcast Scoop Trick Lama baru-baru ini.
Ia diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru) dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez.
Ditanya pandangan beberapa penganalisis politik yang menjangkakan akan ada kerjasama parti-parti politik Melayu dan Islam termasuk menghidupkan kembali gabungan Muafakat Nasional (MN) pada PRU-16, Wan Saiful berkata suasana politik sudah berubah dan kini penuh dengan ‘ketidakpastian’.
“Orang politik ini suka sesuatu yang pasti, seperti ahli perniagaan, masa depan yang boleh dijangka. Bila perkara yang boleh jangka ini, mereka buat perjanjian lebih awal, bentuk gabungan sebelum pilihan raya.
“Di kebanyakan negara demokrasi, gabungan selalunya dibentuk selepas pilihan raya. Sebab itu kena ada kepercayaan dan pergi berunding.
“Kalau sekiranya parti kanan berjumpa parti kiri dan bentuk kerajaan, kerajaan itu akan dikenali sebagai kerajaan centrist.
“Kalau parti kanan bertemu parti kanan dan bentuk gabungan ia dipanggil kerajaan berhaluan kanan dan begitu sebaliknya.
“Saya suka kepada keadaan sekarang yang mana kita perlu bertanding di pilihan raya, lepas itu kita berunding, situasi itulah yang menyebabkan susah nak jawab soalan ini secara tuntas. Sebab kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, mengambil contoh sekiranya Bersatu atau Perikatan Nasional (Pan) mendapat lebih banyak kerusi, akan timbul persoalan gabungan dengan siapa wajar dibentuk oleh PN.
“Kita tak tahu contohnya, sekiranya pada masa itu nanti, kita merasakan bahawa kerusi-kerusi yang kita ada majoriti besarnya adalah daripada kawasan Melayu.
“..dan sebagai parti yang inklusif kita nak ada kerajaan yang membawa semua kaum dan agama dalam kerajaan. Mungkin kita ajak Gerakan dan MCA untuk sertai atau juga parti di Sabah dan Sarawak untuk turut sertai.
“Tapi saya tidak tahu, benda ini boleh berlaku kemudian dan ini yang membuatkan politik Malaysia sangat mengujakan
“Memberi lebih pening kepala kepada ahli politik tapi saya suka situasi sebegini kerana ia akan mendesak kami (PN) untuk bekerja lebih keras bagi mendapatkan sokongan rakyat
“Sebelum ini letak ‘songkok’ pun menang, sekarang cuba letak songkok boleh menang ke tidak?,” soalnya. – 29 Ogos, 2024