KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis masih gagal memberikan surat rasmi bagi membuktikan beliau sudah menyertai PAS sejak Jun tahun lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Umno negeri sudah menghantar surat kepada PAS bagi mendapatkan pengesahan keahlian Muhammad Jailani, namun tiada maklum balas sehingga kini.
Jelasnya, disebabkan tiada kerjasama diberikan Muhammad Jailani, pihaknya akan menunggu DUN negeri kembali bersidang pada November ini.
“Kita tunggu bulan 11. Sidang Dewan nanti Speaker akan tentukan kedudukan dia (dalam dewan) dan kita tanya dia ketika itu nanti.
“Sebab kalau kita nak ambil tindakan kepada dia seperti yang berlaku dalam parti-parti lain, kita kena tunggu jawapan balas darinya dan kita akan mengambil tindakan selepas itu,” katanya kepada media di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), semalam.
Ab Rauf juga memberitahu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memaklumkan kepada Adun Rembia itu supaya menghantar surat dan sijil keahlian PAS secara rasmi ke pejabat Speaker dan tempoh yang diberikan telah tamat pada 28 Julai lepas.
“Sampai hari ini, kita tidak menerima warkah rasmi daripada Adun Rembia. Apabila tidak ada warkah rasmi selain daripada penerangan yang dibuat sewaktu sidang media (PAS), kita memerlukan satu bukti yang menunjukkan bahawa beliau telah menjadi ahli PAS sejak sekian lama.
“Dengan itu baru kita boleh ambil langkah untuk menilai sama ada kebenaran beliau sebagai ahli PAS sejak sekian lama itu boleh diunjur pada keputusan dibuat pada waktu ketika ini.
“Bila tidak adanya pengesahan itu, kita tunggulah satu keputusan akan dibuat,” katanya.
Sebelum ini mesyuarat MKT Umno bersetuju memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi dan pampasan terhadap Muhammad Jailani yang diumum Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai parti itu sejak Jun tahun lepas.
Terdahulu Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sudah menyerahkan surat tuntutan kepada Muhammad Jailani bagi menuntut bayaran denda RM100 juta berikutan tindakan menyertai PAS.
Takiyuddin pada sidang media di Parlimen sebelum ini berkata, tindakan Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Jailani menyertai PAS.
Jailani menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR dan beliau antara empat Adun Pakatan Harapan (PH) yang melompat parti menyokong BN bagi mengambil alih pentadbiran negeri pada Mac 2020.
Beliau dikatakan dipecat PKR, sebelum mengumumkan menyertai Umno bagi membolehkan dipilih bertanding semula mewakili BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November 2021.
Walau bagaimanapun timbul isu apabila Jailani dilapor hadir pada majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di Bakri, Johor.
Susulan itu, pada September lalu, Lembaga Disiplin Umno mengesyorkan keahlian Jailani digantung selama enam tahun. – 23 Ogos, 2024