KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Meta Platforms Inc (Meta) dan kerajaan telah memberi peringatan kepada pihak berkenaan untuk tidak mengulangi tindakan sama.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri malah Anwar turut berkongsi bahawa tindakan Meta terhadap postingnya itu sudah tersebar seantero dunia.
“Semalam saya sudah menyampaikan kepada Meta, saya mohon supaya mereka dari semasa ke semasa berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk memberikan apa-apa maklumat terkini mengenai garis panduan sekiranya ia berubah.
“Kami dimaklumkan garis panduan bagi Meta khususnya mengenai isu geopolitik akan berubah dari semasa ke semasa, kadang kala dimaklumkan, kadang kala tidak dimaklumkan.
“Sebagai contoh pada satu ketika, perkataan syahid juga tidak dibenarkan dalam Meta tetapi kami dimaklumkan akibat usaha yang dipelopori pasukan yang kami jumpa semalam, perkataan seperti syahid tidak lagi menjadi isu.
“Saya juga telah minta supaya pihak Meta memastikan Perdana Menteri diberikan taraf serupa dengan ketua kerajaan lain di seluruh dunia, sekiranya ada track tertentu untuk mereka meneliti, maka beliau patut diberi layanan yang sama, jangan ada double standard,” katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan tidak berhasrat menutup atau menyekat platform media sosial atas sebab mereka mengambil tindakan seperti itu.
“Tapi kita boleh pertimbangkan mungkin dalam kita mengusahakan kod tatalaku garis panduan media sosial, tapi saya lihat kerjasama diberikan oleh platform ini ketika kita menyampaikan aduan atau kita berhubung dengan mereka, saya boleh terima.
“Bermaksud mereka pun mengaku ada kelemahan di pihak mereka, saya sebut di sini, Meta mengaku ada kesilapan berlaku di pihak mereka.
“Mereka menggunakan alasan ada 3.2 bilion akaun Facebook di seluruh dunia dan oleh sebab itu, bila ada apa-apa update atau garis panduan yang baharu, maka dari segi programmingnya, di situ mereka dapati berlaku kesilapan dalam kes ini.
“Kenapa posting atau kandungan dimuat naik Perdana Menteri dari Bulan Mei diturunkan sekali, ini saya dapati Meta tidak dapat menjawabnya dengan baik.
“Saya ambil maklum yang datang kemungkinan besar, bukanlah mereka yang meneliti perkara ini, mungkin sama ada di peringkat lebih tinggi atau dalam jabatan berbeza.
“Saya telah nyatakan rasa kesal (kepada Meta) kerana tidak hadir seorang jurutera Meta dalam mesyuarat semalam,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi menyatakan kekesalan dengan tindakan biadap Meta dan menggesa permohonan maaf.
“Ada wartawan yang tanya puas ke tak puas? (permohonan maaf)… isunya bukan puas atau tak. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, jawatan atau institusi Perdana Menteri itu perlu dihormati semua platform.
“Pihak Meta mengaku, mereka memaklumkan apa yang berlaku ialah semua ketua negara atau semua ketua kerajaan dalam dunia ni ada satu track khas yang posting mereka dipantau. Bagaimanapun mereka kesal kerana posting Perdana Menteri itu diturunkan.
“Saya tanya kepada Meta kenapa diturunkan sedangkan kamu tahu Perdana Menteri Malaysia dilantik 20 bulan yang lalu…dan mereka memberikan bermacam alasan teknikal, pendek kata macam-macam alasan atas kesilapan itu,’’ katanya.
Terdahulu, Meta mengemukakan permohonan maaf atas penyingkiran kandungan dari akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, minggu lalu.
Perkara itu dikemukakan seorang jurucakap Meta kepada Reuters menerusi balasan melalui e-mel berhubung isu terbabit. – 6 Ogos, 2024