KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tampil memohon maaf di atas kesilapannya ketika membuat laungan ‘Hidup Israel’ pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, Zahid mengakui, khilafnya disebabkan semangat demi menunjukkan solidariti terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin.
“Dalam keghairahan dan rasa penuh semangat tadi, saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam berbicara.
“Namun hati yang tulus ikhlas ini tetap membara untuk melaungkan Bebas Palestin! Hidup Palestin! Merdeka Palestin!” katanya.
Dalam majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Zahid berkata, beliau kekal dengan pendirian menolak kekejaman yang dilakukan Israel serta menuntut hak pembebasan penduduk Palestin.
“Malam ini (tadi) saya hadir bersama ribuan rakyat Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil bagi memberi dokongan dan tanda solidariti kita untuk pembebasan Palestin.
“Hadirnya kita hari ini sebagai rasa cinta terhadap keamanan, kedamaian dan menolak sekeras-kerasnya penindasan serta kezaliman manusiawi.
“Malam ini (tadi) juga kami berkumpul bagi memperingati As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh yang telah dibunuh dengan kejam. Namun, walau seorang Ismail Haniyeh gugur ribuan mujahid lagi akan dilahirkan!” katanya.
Terdahulu, kecoh apabila Zahid dikatakan ‘tersasul’ melaungkan ‘Hidup Israel’ ketika menyampaikan ucapannya pada himpunan yang dihadiri ribuan rakyat Malaysia.
Perhimpunan solidariti bersama Palestin kali ini adalah yang kedua diadakan selepas acara sama berlangsung di Axiata Arena pada 24 Oktober tahun lalu, rentetan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran pada Rabu lalu dipercayai dilakukan Zionis.
Antara program dilaksanakan adalah Pidato Solidariti Palestin, bacaan puisi dan persembahan nyanyian daripada Faizal Tahir, Rabbani dan Amir Masdi, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah. – 5 Ogos, 2024