KUALA LUMPUR – Tindakan PAS yang mengizinkan ahlinya bertukar parti dan menjadi calon Bersatu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, menunjukkan parti itu hilang keyakinan terhadap Bersatu.
Setiausaha Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, tindakan itu memperlihatkan PAS mempersendakan Bersatu dan tidak ada rasa setiakawan terhadap parti bunga itu dalam Perikatan Nasional (PN).
Pucuk pimpinan PAS juga, ujar beliau menipu ahli dan penyokongnya di Nenggiri selepas mengizinkan Timbalan Ketua Pemudanya keluar dari PAS dan menyertai Bersatu, dua hari sebelum pengumuman calon.
Ia sekali gus membelakangi bai’ah ahli tanpa sebarang tindakan.
Malah, kata Mustapha, ia juga satu penghinaan apabila pengumuman calon dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, bukannya pemimpin kanan Bersatu yang ketika itu turut hadir pada majlis terbabit.
“Bersatu telah diperlekehkan PAS apabila beberapa nama tokoh Bersatu yang disebut sebelum ini sebagai senarai pendek calon, tidak terpilih kerana gagal menepati ‘piawaian’ PAS.
“PAS hilang keyakinan kepada orang Bersatu untuk dicalonkan kerana tidak percaya calon itu boleh menyaingi calon Umno.
“Calon Bersatu yang bertanding hanya copy and paste (salin dan tampal) PAS, umpama calon anak tumpang PAS ke dalam Bersatu,”’ katanya di sini hari ini.
Justeru Mustapha meminta dan merayu semua penyokong Bersatu di Nenggiri supaya kembali menyokong serta mengundi calon Umno.
Selepas beberapa nama calon disebut, PN akhirnya menamakan bekas ahli PAS, Mohd Rizwadi Ismail untuk bertanding pada PRK Nenggiri.
Rizwadi, 41, yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan bertanding sebagai calon Bersatu, namun menggunakan logo PAS pada PRK yang dijadualkan 17 Ogos ini.
Pemilihan Rizwadi mendapat kritikan beberapa pihak yang menyifatkan Bersatu ketandusan calon hingga terpaksa mengambil ahli PAS menyertai parti itu.
Pemilihan Rizwadi dikatakan dibuat pada saat akhir berbanding dua nama yang disebut-sebut sebelum ini iaitu Sheikh Razali Hamad dan Sun Najaman Muhamad.
Sementara Umno menampilkan calon muda yang juga Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. – 31 Julai, 2024