KUALA LUMPUR – Seorang peniaga pisang goreng dihukum penjara 24 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas dua tuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan di Taman Ikan Emas, Jeram, pada 19 Julai lalu.
Mohamed Shahriza Othman, 31, membuat pengakuan berkenaan selepas dua tuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 bulan untuk setiap tuduhan dan hukuman berjalan serentak mulai hari ini.
Siti Hajar turut mengenakan denda keseluruhan sebanyak RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya.
Mohamed didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun dari penjaganya yang sah di Taman Ikan Emas, Jeram di Kuala Selangor pada 6.30 petang, 19 Julai lalu.
Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh melarikan dua kanak-kanak tersebut, yang ketika itu sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.
Tertuduh mengajak mangsa menemaninya untuk menghantar surat dan memberikan wang tunai RM50 sebagai upah.
Dia menghantar semula dua-dua kanak-kanak berkenaan ke rumah mereka pada 7.45 malam, hari yang sama.
Mohamed sebelum ini ditahan polis pada jam 2.40 pagi di rumahnya di Jeram pada 21 Julai lalu dan direman selama lima hari.
Peguam Muhd Muqri Mohd Khairi dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh.
Beliau memaklumkan tertuduh merupakan penyara tunggal kepada isteri dan dua anak yang masih bersekolah dengan anggaran pendapatan sebulan sebanyak RM2,000. – 25 Julai, 2024