KUALA LUMPUR – Seorang wanita, Salina Abdullah, 50, yang menghidap kemurungan hilang selepas keluar sendirian dari rumahnya di Ketengah Jaya, Kerteh, sejak Isnin lalu.
Bercakap kepada Scoop, anak perempuannya, Maisarah Zailan, 29, berkata, kehilangan ibunya disedari oleh adiknya pada jam 4 petang setelah wanita itu tidak pulang ke rumah.
Menurut Maisarah, ibunya keluar membawa kereta jenis Perodua Alza berwarna putih dengan nombor pendaftaran W7115U.
“Kebiasaannya jika dia mahu ke mana-mana, ibu akan membawa adik saya tetapi ketika itu, adik sedang tidur.
“Kami mencarinya di merata tempat yang biasa dikunjunginya termasuk kedai-kedai dan pantai di mana dia sering duduk apabila merasa tidak sihat, namun gagal menemui sebarang jejak,” katanya.
Jelasnya, Salina telah mendapatkan rawatan untuk penyakit kemurungan tersebut sejak 20 tahun lepas namun disebabkan akhir-akhir ini keadaannya semakin baik maka doktor telah menukar ubat.
“Doktor menukar ubatnya daripada suntikan untuk tiga bulan sekali kepada pil. Cuma kebelakangan ini dia jarang makan pil tersebut menyebabkan kami risau dengan keadaannya,’’ katanya.
Usaha mencari ibunya itu, kata Maisarah, mengalami kesukaran kerana dia tidak membawa telefon bimbit. Mereka sudah berkongsi maklumat kehilangannya dalam beberapa kumpulan WhatsApp dan turut membuat laporan polis.
“Setakat ini, kami belum mendengar apa-apa daripada mereka, tetapi saya telah menerima banyak mesej daripada orang ramai yang mendakwa ternampak kereta yang dinaikinya,” katanya.
Justeru sesiapa yang mempunyai maklumat tentang wanita berkenaan atau ternampak kereta diminta menghubungi polis atau keluarga di 019-3384241. – 24 Julai 2024